Polis buru suspek intai wanita di tandas stesen minyak - Utusan Malaysia

Polis buru suspek intai wanita di tandas stesen minyak

TANGKAP layar rakaman CCTV seorang lelaki masuk ke dalam tandas wanita di sebuah stesen minyak di Tapah. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Polis sedang mengesan lelaki yang didakwa mengintai seorang wanita di tandas sebuah stesen minyak seperti dalam video yang tular sejak semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kejadian di sebuah stesen minyak di sini berlaku semalam, pada pukul 4.50 petang dan laporan polis dibuat pada hari yang sama.

“Laporan polis dibuat pengadu berusia 33 tahun yang mendakwa telah diintai seseorang melalui ruang atas tandas semasa sedang menggunakan tandas di stesen minyak berkenaan.

“Berdasarkan semakan kamera litar tertutup (CCTV), didapati seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan telah masuk ke dalam tandas wanita sebelum beredar menaiki kereta jenis Toyota Avanza,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, semakan terhadap nombor pendaftaran kenderaan tersebut mendapati, kereta itu didaftarkan atas nama seorang lelaki yang beralamat di Pusing, Batu Gajah.

Katanya, usaha sedang dijalankan bagi mengesan suspek berdasarkan kepada nombor kenderaan yang digunakan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman CCTV berdurasi 41 saat, memaparkan seorang wanita masuk ke dalam tandas sebuah stesen minyak sebelum suspek dipercayai lelaki warga tempatan turut masuk ke dalam tandas sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya