Polis Bentong buru lelaki rompak gerai durian

Polis Bentong buru lelaki rompak gerai durian

KERATAN rakaman video yang tular mengenai seorang lelaki yang merompak pekerja gerai durian di tepi jalan berdekatan Kawasan Perindustrian Benus, Bentong, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Polis Bentong sedang mengesan dan menjejaki suspek seorang lelaki warga tempatan yang merompak pekerja sebuah gerai durian di tepi jalan berdekatan Kawasan Perindustrian Benus, dekat sini.

Polis menjejaki suspek tersebut berikutan laporan yang diterima berkaitan rakaman video kejadian berdurasi 26 saat yang tular di laman media sosial.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) telah menerima aduan mengenai kejadian yang berlaku pada pukul 3.20 petang semalam ketika mangsa seorang wanita sedang bekerja di gerai durian tepi jalan tersebut didatangi sebuah kereta jenis Proton Wira dipandu oleh seorang lelaki dipercayai warga tempatan.

“Pekerja gerai itu yang juga seorang warganegara asing berusia 38 tahun telah diacukan dengan senjata yang menyerupai objek seperti pistol dan suspek meminta mangsa menyerahkan wang tunai.

“Mangsa kemudiannya menyerahkan semua wang jualan durian hari berkenaan sebanyak RM850 sebelum suspek melarikan diri dengan menaiki kenderaan yang sama,” katanya di IPD Bentong, di sini hari ini.

Menurut Zaiham, hasil siasatan polis mendapati mangsa warganegara asing itu bekerja dengan seorang lelaki warga tempatan sebagai pembantu gerai durian tersebut.

Beliau berkata, ketika kejadian, mangsa cuma seorang diri sedang bekerja di gerai durian itu dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 392/397 Akta Kanun Keseksaan iaitu rompak dengan menggunakan senjata. Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama 14 belas tahun, denda dan sebatan.

“Polis di sini dalam usaha menjejaki suspek dan orang ramai diminta sentiasa berwaspada serta menjaga keselamatan diri bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Ujarnya, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat dan menyaksikan kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah IPD Bentong menerusi talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis berdekatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya