PN utuh, PH-BN yang tidak serasi

PN utuh, PH-BN yang tidak serasi

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan dakwaan hubungan politiknya dengan Pas umpama ‘retak menanti belah’, sebalik­nya mendakwa situasi tersebut dihadapi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, hubungan antara dua parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) masih kukuh tidak seperti didakwa Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Menurut beliau, PH dan BN sehingga kini masih tidak me­nunjukkan keserasian yang jelas terutama di peringkat paling bawah serta di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), berbeza dengan PN.

“Dakwaan daripada Bang Mat (Mohamad Sabu) tidak tepat, ia datang daripada mimpi dia ke apa pun saya tidak tahu tapi hubungan kami dalam PN amat utuh. Kita sentiasa bersama sepanjang kempen pilihan raya negeri (PRN) yang sedang berlansung ni iaitu daripada peringkat tertinggi hingga ke bawah.

“Kita tidak nafikan sebelum penamaan calon ada masalah-masalah terpencil di beberapa kawasan yang mengharapkan agar calon berbeza diketengahkan oleh pucuk pimpinan.

“Namun, selepas secara rasmi hari penamaan calon, kita dapati jentera di semua peringkat sudah kembali bekerjasama de­ngan rapat untuk memastikan kemenangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, Mohamad Sabu yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mendakwa Bersatu dan Pas kini tidak lagi mempunyai kesefahaman menjelang PRN yang bakal diadakan 12 Ogos ini.

Ahmad Faizal yang juga bekas Ahli Parlimen Tambun itu menyifatkan dakwaan Moha­mad Sabu adalah sesuatu perkara yang diinginkan oleh beliau untuk terjadi.

“Dakwaan tersebut adalah hasil daripada pemimpin yang tidak mempunyai idea nak bercakap tetapi sebaliknya bercakap sesuatu perkara ‘diimpikan’ olehnya terjadi walaupun tidak benar.

“Malah, gagal membuat kerja pentadbiran kerajaan dengan baik. Hanya berminat untuk berpolitik dan berpolemik sepanjang masa,” katanya.

Sementara itu, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, saingan di beberapa negeri dalam PRN ketika ini dilihat sengit.

“Contohnya seperti di Negeri Sembilan, sebelum ini dilihat PN hampir tidak ada peluang tetapi kita nampak perubahan sikap yang begitu besar terutama dalam kalangan pengundi-pe­ngundi Melayu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya