SHAH ALAM: Perikatan Nasional (PN) menganggap kemenangan mereka pada ketiga-tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu serta sebahagian kerusi di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang sebagai satu referendum kepada Kerajaan Perpaduan.
Ini kerana, parti itu menganggap kemenangan mereka signifikan kerana berjaya menguasai 60 peratus daripada 245 Dewan undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, justeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi perlu mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan serta merta.
“Kejayaan besar PN meraih sokongan pengundi Melayu menandakan bahawa Perikatan Nasional adalah wadah utama politik bangsa Melayu pada masa kini. UMNO tidak relevan lagi dengan hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi.
“Ini bermakna UMNO kalah 82 peratus daripada keseluruhan. PN juga berjaya memenangi kerusi campuran seperti Kulim dan kerusi majoriti kecil Melayu seperti Derga yang menunjukkan parti turut mendapat sokongan pengundi bukan Melayu,” katanya dalam sidang akhbar malam tadi.
Selain menguasai Kedah, Kelantan dan Terengganu, di Selangor PN berjaya menafikan majoriti dua pertiga daripada gabungan Pakatan harapan-Barisan Nasional (PH-BN) apabila memenangi 22 daripada 56 DUN.
Kemenangan mereka termasuklah di kawasan-kawasan yang dijangka seperti Sabak, Sungai Burong, Permatang, Jeram, Ijok, Kuang, Taman Medan, Sementa, Selat Klang, Sijangkang, Morib dan Dengkil.
Malah Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut menang di kawasannya yang menjadi tumpuan iaitu Hulu Kelang menewaskan Juwairiya Zulkifli dengan majoriti 1,617 dan Hilman Idham di Gombak Setia dengan majoriti tipis.
Selain itu, PN juga menyapu bersih hampir keseluruhan kawasan di Selangor Utara seperti di Parlimen Kuala Selangor dan Tanjong Karang dengan menguasai kelima-lima kerusi DUN di situ.
Dalam pada itu, Muhyiddin menjelaskan gelombang sokongan pengundi Melayu di Pulau Pinang juga telah membawa kejayaan besar kepada PN dengan menang 11 daripada 15 kerusi majoriti Melayu.
“Ini membuktikan PN adalah wadah politik bangsa Melayu pada masa kini berbanding UMNO yang tidak lagi relevan dengan hanya memenangi 19 kerusi daripada 108 kerusi ditandingi mereka,” ujarnya. – UTUSAN