KUALA LANGAT: Perikatan Nasional (PN) didakwa tawaran dikemukakan parti itu sebagai manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor sebagai lapuk dan pernah dilaksanakan kerajaan negeri sebelum ini.
Bekas Timbalan Speaker, Hasnul Baharudin berkata, tawaran tersebut sebahagiannya adalah dasar-dasar utama Pakatan Harapan (PH) yang sudah pun dilaksanakan sepanjang menjadi kerajaan negeri.
“Sebagai contoh daripada aspek pendidikan, sekolah tahfiz Sains kita sudah lama buat. Sejak 15 tahun kita sudah wujudkan.
“Sekolah tersebut sama ada kita menaikkan dan membina semula sekolah menengah agama tafiz integrasi di bandar kita wujudkan di Sabak Bernam, Shah Alam dan Klang yang mana ia akan terus dibina mengikut keperluan,” katanya ketika Utusan Malaysia, hari ini.
Terdahulu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pembentangan 112 tawaran parti itu bagi PRN negeri ini menjanjikan RM120 juta akan diperuntukkan untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran termasuk aspek pendigitalan pendidikan, di samping pembinaan sekolah agama rakyat integrasi sains dan teknologi baharu.
Malah, beliau juga menjanjikan bantuan yuran Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) akan diberi kepada murid daripada keluarga yang memerlukan dengan peruntukan RM6 juta setahun.
Bagaimanapun, Hasnul menjelaskan, tidak banyak aspek yang membanggakan di dalam tawaran PN kerana PH sudah pun membuat rangkuman dari segala aspek bagi membantu rakyat untuk meningkatkan kualiti hidup.
“Kesimpulannya jika kita teliti segala tawaran PN dengan peruntukan RM2 bilion memang tidak banyak beza dengan tawaran PH yang dilakukan secara realistik dan bersandarkan statistik semasa,” ujarnya. – UTUSAN