Piala Malaysia: KL City 'sebelah kaki' ke suku akhir - Utusan Malaysia

Piala Malaysia: KL City ‘sebelah kaki’ ke suku akhir

PENANG FC gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri pada aksi pertama saingan pusingan kedua Piala Malaysia apabila tewas 0-4 kepada KL City, malam ini. Gambar: FB Penang FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kuala Lumpur City FC (KL City) dilihat hampir pasti tidak menghadapi masalah untuk melangkah ke saingan suku akhir Piala Malaysia tahun ini selepas mudah membenam cabaran Penang FC, 4-0 pada aksi pertama pusingan 16 pasukan terbaik di Stadium Bandaraya, di sini malam ini.

Turun dengan status juara pada edisi 2021, KL City tidak mengambil masa yang lama untuk menguji benteng tuan rumah apabila rembatan kapten mereka, Pablo Josue gagal didakap kemas oleh penjaga gol, Khatul Anuar Md. Jalil pada minit ke-3.

Namun, tindakan penyudah yang tumpul daripada jentera serangan KL City pada ketika itu menyelamatkan seketika gawang skuad Harimau Kumbang daripada dibolosi.

Seminit berselang, gol yang ditunggu-tunggu pelawat akhirnya menjelma apabila penyerang import mereka, Tchetche Kipre menyambut baik lorongan bola daripada pemain tengah, Sebastian Osbol hasil serangan balas sebelum tenang melepaskan rembatan ke arah gol yang gagal dibaca Khatul Anuar.

Kipre yang juga bekas pemain Kedah dan Terengganu nyaris menambah derita tuan rumah pada minit ke-14, namun tandukan golnya dibatalkan oleh pengadil, Mohammad Zamzaidi Katimin selepas dia didapati ‘ofsaid’.

Meskipun diasak hebat dari segenap penjuru, Penang FC cuba bangun untuk melawan dan nyaris memperoleh gol penyamaan menerusi Mohd. Hadin Azman.

Bagaimanapun, percubaan pemain itu berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol KL City, Kevin Mendoza.

Kelekaan menyerang bagaimanapun mengundang padah buat tuan rumah apabila gawang mereka kemudian dibolosi lagi iaitu sebanyak dua kali dalam tempoh lima minit sekaligus menjadikan kedudukan 3-0 yang memihak kepada pasukan pelawat.

Gol kedua KL City juga dijaringkan oleh Kipre hasil satu tandukan tajam pada minit ke-26 manakala pemain tengah, Zhafri Yahya turut mencatatkan nama sebagai penjaring menerusi satu rembatan voli yang menarik, lima minit kemudian.

Masuk babak kedua, anak-anak buah Manzoor Azwira dilihat cuba menyusun semula permainan dalam usaha untuk memburu gol sulung sekali gus merapatkan kedudukan dengan KL City.

Pun begitu, pemain gantian KL City, Romal Morales lebih mencuri perhatian apabila berjaya mengelecek dua pemain tuan rumah sebelum menjaringkan gol keempat pada minit ke-84.

Penang FC cuba bangkit untuk melancarkan serangan bagi mencari sekurang-kurangnya gol sagu hati, namun KL City kuat bertahan dan kedudukan 4-0 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan.

Aksi timbal balik kedua untuk kejohanan itu dijangka diadakan di Kuala Lumpur, 18 Ogos ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya