KERAMAT: Pakatan Harapan (PH) ikhlas dengan kerjasama bersama Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Pengerusi BN berkata demikian semasa Ceramah Grand Finale Arus Merah Kuning di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) AU2, Keramat di sini, malam ini.
Katanya, daripada 245 kerusi ditandingi sekarang, BN bertanding 108 kerusi.
“Dulu kerusi penyandang kita tidak lebih dari tiga, ertinya PH beri peluang kepada BN untuk bertanding.
“PH telah mmperlihat keikhlasan kepada BN, sebab itu menjadi tanggungjawab BN untuk membalas keikhlasan ini dengan beri sokongan kepada semua calon PH,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, beliau sudah memberitahu jentera BN supaya wajib menolong calon PH di Selangor kerana tahu jentera parti itu di negeri ini serta negeri lain terus menyokong calon BN.
Katanya, itu semangat yang ditunjukkan kedua-dua parti Kerajaan Perpaduan.
“Oleh itu, kita mahu saudara Datuk Seri Amirudin Shari terus menjadi Menteri Besar Selangor.
“Kita tahu bahawa kita diserang, diterjah pelbagai fitnah, seranah dan sebagainya, tetapi (saya) yakin apabila merah dan biru bercantum dengan penuh keserasaian, insya-Allah,” katanya. – UTUSAN