ALOR SETAR: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mengulangi keyakinan sudah memiliki 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dimenangi pada pilihan raya negeri (PRN) ini.
Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, mereka hanya memerlukan tambahan tiga lagi kerusi untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu melalui keputusan majoriti mudah.
“Saya masih yakin 16 kerusi sudah dalam genggaman, kita hanya nak kejar tiga kerusi saja lagi dan tiga kerusi itu pun kita yakin sudah dicapai setakat ini. Saya tak boleh sebut di mana, itu rahsia dan kita tak mahu ganggu kerana margin tiga kerusi itu kecil,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Tunku di sini, hari ini.
Mahfuz yang bertanding di DUN Alor Mengkudu berkata, jika PH dan BN mendapat lebih daripada 19 kerusi DUN, ia merupakan satu bonus kepada gabungan itu di Kedah.
Sementara itu, Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, berdasarkan laporan yang diperolehi setakat ini, gabungan tersebut terus mendapat keyakinan dan sokongan rakyat daripada pelbagai kaum.
Katanya, peratusan sokongan kepada BN dan PH juga terus menunjukkan peningkatan dengan baik dan sangat progresif.
“Kerajaan Perpaduan ini mendapat sokongan masyarakat dan kita berada pada tahap yang meyakinkan. Insya-Allah kita akan berjaya menubuhkan kerajaan atau meletakkan BN dan PH di hadapan dalam persaingan dengan Perikatan Nasional (PN),” katanya.
Mengulas dakwaan kononnya Kerajaan Persekutuan akan berubah sekiranya enam negeri yang mengadakan PRN dimenangi PN, Mahdzir berkata, perkara itu tidak akan berlaku.
Beliau yang juga calon BN di kerusi DUN Pedu berkata, banyak tuduhan tidak benar dibuat terhadap kerajaan sedangkan pembaharuan yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah dirasai di negeri yang pentadbirannya sama di peringkat Persekutuan.
“Apa yang Kerajaan Persekutuan umumkan seperti di bawah kluster ekonomi, pembangunan dan kebajikan sedang dilakukan, tapi kerana ia baharu bergerak dalam lapan bulan ini, kesannya tidak dapat dilihat secara keseluruhan.
“Di Kedah kalau kita dapat selarikan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri, maka faedah itu dapat dirasai lebih cepat sama seperti di negeri (ditadbir Kerajaan Perpaduan) dan kita boleh laksanakan dengan lebih baik lagi,” katanya. –UTUSAN