ANALISIS
BAGAI langit dengan bumi. Itu yang boleh digambarkan dalam persaingan kempen antara blok Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang ketika ini.
Sepanjang minggu pertama kempen sejak hari penamaan calon, siri kempen itu lebih banyak didominasi calon gabungan PH-BN berbanding calon PN meskipun kedua-dua parti bertanding di kesemua 40 kerusi DUN di Pulau Pinang.
Sama ada dari segi perang bendera dan poster, siri turun padang bertemu pengundi atau penganjuran ceramah mega dengan kehadiran pimpinan kanan parti, gabungan PH-BN ternyata jauh ke hadapan berbanding PN.
Sangat jelas gabungan PH-BN tidak mengambil mudah PRN kali ini dan bersungguh-sungguh menarik sokongan pengundi meskipun di sebalik ramalan banyak pihak, parti itu akan kekal sebagai kerajaan negeri.
Malah seperti disebut Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, calon-calon parti itu akan memperhebat lagi kempen turun padang dan ceramah supaya dapat mendekati kesemua lapisan pengundi.
Barangkali situasi itu ada kaitan dengan kebimbangan pemimpin PH terhadap kemungkinan pengundi tidak akan menjalankan tanggungjawab mereka pada 12 Ogos ini.
Ini kerana terdapat maklum balas di lapangan yang mana kumpulan pengundi yang berasakan tidak perlu mengambil bahagian pada PRN kali ini kerana selesa dan yakin Pulau Pinang kekal ditadbir PH.
Dalam masa sama, gabungan PH-BN juga masih bergelut untuk mengatasi situasi undi protes dalam sebahagian penyokong mereka yang sehingga kini tidak dapat menerima kerjasama pertama kali kedua-dua parti politik tersebut.
Di Pulau Pinang yang majoriti undi popular pada beberapa pilihan raya umum lalu memihak kepada PH, peratusan mengundi yang rendah tidak akan memberi kelebihan kepada parti tersebut untuk memastikan kemenangan besar calon-calon mereka.
Maka tidak hairanlah calon-calon gabungan PH-BN dalam memasuki separuh masa kedua kempen PRN ketika ini, mula memasuki ‘gear’ laju dan merancakkan lagi kempen sama ada secara lapangan mahupun di media sosial.
Situasi itu bagaimanapun agak berbeza di kem PN yang mana kempen calon mereka dilihat agak perlahan dan tidak begitu agresif.
Dari segi perang bendera, poster dan ‘billboard’, bahan kempen PN ditenggelami dan ‘ditelan’ kempen PH hampir di kebanyakan kawasan di Pulau Pinang.
Selain itu, ceramah-ceramah PN juga lebih banyak diadakan secara berkelompok atau pada skala kecil tanpa kehadiran nama-nama besar pemimpin PN di peringkat Pusat.
Paling mengecewakan, PN Pulau Pinang sehingga kini belum melancarkan manifesto untuk dinilai rakyat, ketika pelancaran manifesto PH dibuat penuh gilang-gemilang.
Kelewatan menawarkan manifesto itu tidak akan menguntungkan PN kerana pengundi Pulau Pinang kini terlebih dahulu ‘termakan’ dan terpesona dengan tawaran-tawaran dibuat gabungan PH-BN.
PN Pulau Pinang juga mengambil masa terlalu lama menyelesaikan kontroversi pencalonan Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr. Dominic Lau di kerusi majoriti pengundi Melayu.
Kemelut itu yang berpanjangan sehingga menyaksikan Dominic yang juga Presiden Gerakan Pusat diperlekeh dalam satu kejadian ketika turun pada ceramah anjuran Pas memberi imej buruk kepada PN.
PN dilihat lebih bergantung dan berharap kepada naratif ‘gelombang hijau’ atau tsunami Melayu seperti yang berlaku pada PRU15 berulang.
Jika bersandarkan kepada andaian itu, calon-calon PN boleh melakar kemenangan sekurang-kurangnya di 15 kerusi DUN majoriti pengundi Melayu pada PRN Pulau Pinang kali ini. – UTUSAN