PGA Pengkalan Hulu gagalkan cubaan seludup petrol - Utusan Malaysia

PGA Pengkalan Hulu gagalkan cubaan seludup petrol

ANGGOTA penguatkuasa KPDN memeriksa tangki minyak kereta yang diubahsuai selepas menahan seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Pengkalan Hulu, semalam. - UTUSAN/IHSAN KPDN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Cubaan seorang lelaki menyeludup keluar minyak petrol sebanyak 68 liter ke negara jiran gagal, apabila berjaya dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Hulu, semalam.

Lelaki tempatan berusia 55 tahun itu ditahan pada pukul 10 pagi selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di sebuah stesen minyak di Pengkalan
Hulu.

Hasil pemeriksaan pada kereta jenis Mercedes-Benz dengan nombor pendaftaran tempatan itu menemukan tangki tambahan atau tangki yang telah diubahsuai di bahagian belakang bonet kenderaan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, lelaki terbabit ditahan dan dibawa ke Kem Batalion 18, PGA Pengkalan Hulu.

Katanya, pegawai penguat kuasa KPDN Cawangan Gerik telah melaksanakan
tindakan sitaan barangan dan menahan suspek untuk siasatan lanjut.

“Antara barang-barang yang disita adalah sebuah kereta jenis Mercedes-Benz yang telah diubahsuai tangki asal, minyak petrol dianggarkan berjumlah 68 liter, resit pembelian minyak petrol dan dokumen lain yang berkaitan.

“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM13,839.40,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati, tangki asal kenderaan itu telah diubah suai bagi membolehkan bahan bakar diisi dalam kuantiti yang banyak.

Katanya, berdasarkan siasatan, tangki kenderaan tersebut boleh memuatkan sebanyak 60 ke 70 liter minyak petrol di mana pembelian dilakukan berulang setiap hari.

“Lelaki terbabit akan membawa dan menjual barang kawalan itu ke negara jiran. Siasatan kes dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya