SHAH ALAM: Polis menjangkakan Persiaran Elmina, Seksyen U16 di sini yang ditutup akibat insiden tragedi pesawat ringan terhempas semalam akan dibuka kepada orang awam pada tengah hari ini selepas kerja-kerja terakhir operasi pencarian selesai.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pada pagi ini pihak berkuasa akan memulakan kerja-kerja pembersihan termasuk mengalihkan serpihan-serpihan pesawat di lokasi kejadian.
“Pada hari ini kita akan mulakan housekeeping selepas operasi pencarian kedua selesai dan polis akan memulakan kerja-kerja pada fasa ketiga termasuk memindahkan serpihan pesawat untuk disiasat oleh pihak berkaitan.
“Kami menjangkakan jalan raya ini akan dibuka pada tengah hari nanti dan mengurangkan kesesakan yang berlaku di sekitar kawasan perumahan ini akibat penutupannya sejak petang semalam,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau pada sidang akhbar malam tadi, kesemua 10 mayat mangsa nahas pesawat berjaya ditemukan termasuk lima bungkusan cebisan anggota badan pada pukul 10.30 malam tadi dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat dan proses pengecaman.
Terdahulu, sekurang-kurangnya 10 warga tempatan maut dalam nahas sebuah pesawat ringan jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) pada pukul 2.40 petang tadi di Persiaran Elmina, Seksyen U16, di sini, yang dalam perjalanan dari Langkawi, Kedah menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Bagaimanapun, pesawat terbabit terputus hubungan dengan menara kawalan sebaik sahaja mendapat kebenaran untuk mendarat di lapangan terbang berkenaan.
Mangsa yang berada dalam pesawat seramai lapan orang terdiri daripada enam lelaki termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun serta dua anak kapal termasuk seorang juruterbang.
Sementara dua lagi merupakan penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan berada di Persiaran Elmina berhampiran susur masuk Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dari arah Denai Alam. – UTUSAN