Perpustakaan UiTM, Pustaka Negeri Sarawak jalin kerjasama

Perpustakaan UiTM, Pustaka Negeri Sarawak jalin kerjasama

MOHD. Hariri (dua dari kiri) dan Japri (dua dari kanan) menunjukkan MoC yang ditandatangani untuk kedua pihak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Perpustakaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Pustaka Negeri Sarawak memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) bagi mempertingkat jaringan kolaborasi antara perpustakaan di Malaysia pada program ‘Sarawak, Ibu Pertiwiku’.

Kerjasama tersebut akan menghasilkan sumber rujukan dalam penyelidikan, keilmuan serta pembelajaran sepanjang hayat bagi perpustakaan akademik dan perpustakaan awam.

Menurut Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) UiTM Prof.Dr. Mohamad Hariri Abdullah, kolaborasi tersebut selari dengan hala tuju Sarawak sebagai negeri maju tahun 2030.

“Kedua belah pihak harus menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap peluasan akses, perkongsian sumber, pembangunan bakat dan penganjuran program berkualiti bertaraf antarabangsa.

“Komitmen kedua pihak dalam memorandum kolaborasi ini adalah memperluaskan akses dan perkongsian maklumat, perkhidmatan, keahlian dan sumber perpustakaan,”katanya ketika berucap merasmikan program ‘Sarawak, Ibu Pertiwiku’ di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) kampus Samarahan 2, UiTM cawangan Sarawak baru-baru ini.

Mohamad Hariri berkata, kerjasama tersebut penting agar maklumat lebih luas dan pelbagai dapat diakses dan seterusnya penggunaan bersama dari segi sumber, perkhidmatan dan kemudahan.

“Di samping itu, perkongsian bakat dan kepakaran dalam kalangan staf dapat meningkatkan kredibiliti organisasi sekaligus menyerlah ketampakan dan kewibawaan staf.

“Kolaborasi ini turut melibatkan kerjasama dalam penganjuran simposium dan persidangan di peringkat antarabangsa yang lebih berkualiti dan berprestij,”katanya.

Tambahnya lagi, kerjasama strategik yang terjalin antara Perpustakaan UiTM dan Pustaka Negeri Sarawak, akan memberi manfaat yang besar terhadap pengajaran,
pembelajaran dan penyelidikan warga UiTM seterusnya melahirkan masyarakat negeri Sarawak yang pro-aktif dan berpengetahuan tinggi.

MoC tersebut disempurnakan oleh Mohamad Hariri dan Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak Japri Bujang Masli.

Pemeteraian MoC antara perpustakaan disaksikan Ketua Timbalan Pustakawan Perpustakaan UiTM, Azizi Jantan dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Pustaka Negeri Sarawak Wan Mazli Wan Razali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya