PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa perpaduan antara berbilang bangsa dan kaum merupakan kunci utama kepada keharmonian serta kesejahteraan rakyat mahupun negara.
Menurut kenyataan Istana Negara, Seri Paduka bertitah, ia bersesuaian dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini iaitu ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuh Harapan’.
“Malah, keutuhan perpaduan ini adalah juga kunci utama kepada kestabilan dan kemakmuran negara serta benih dan sumber kekuatan bagi kita menghadapi apa jua cabaran semasa serta mendatang.
“Seri Paduka menyeru rakyat mengimbau kembali lebih enam dekad yang lalu di mana semangat kenegaraan dan cintakan tanah air telah menyatupadukan rakyat sekaliannya dengan tekad dan iltizam sehingga kemerdekaan yang diidamkan menjadi realiti,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, Istana Negara.
Malaysia hari ini menyambut ke-66 dan sambutan hari penuh bersejarah ini dilakukan di Putrajaya.
Istana Negara memberitahu, Seri Paduka menyeru rakyat mengimbau kembali lebih enam dekad yang lalu di mana semangat kenegaraan dan cintakan tanah air menyatupadukan rakyat sekaliannya dengan tekad serta iltizam sehingga kemerdekaan diidamkan menjadi realiti.
“Seri Paduka turut menyeru rakyat menghargai dan menghayati jasa para pemimpin, pejuang dan patriot kemerdekaan negara memupuk perpaduan rakyat serta anggota pasukan keselamatan mempertahankan kedaulatan negara.
“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab bersama para pemimpin dan rakyat dalam bukan sahaja memelihara dan mengukuhkan lagi keharmonian serta perpaduan yang dikecapi selama ini, malah menyemarakkannya lagi sesama kita.
“Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengajak seluruh rakyat untuk bersama mendoakan agar Malaysia terus dilimpahi kemakmuran, kesejahteraan dan perpaduan yang berkekalan serta dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dan bencana,” katanya.
Sementara itu, Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Kebangsaan 2023 kepada seluruh rakyat Malaysia di negara ini mahupun yang berada di luar negara.
Seri Paduka berdua merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah kerana dengan limpah kurnia-Nya, seluruh rakyat Malaysia bersama meraikan ulang tahun hari bersejarah ini, pada usia kemerdekaan negara menginjak ke-66 tahun, dalam suasana harmoni serta aman dan damai.