KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menjalankan siasatan terhadap penjualan sejenis air minuman yang dikaitkan dengan ajaran sesat.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, tindakan itu diambil dalam memastikan pengguna tidak terpedaya dengan iklan melampau produk kesihatan termasuk air minuman tersebut.
Menurutnya, sebelum ini, KPDN ada membuat kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk memantau pengiklanan produk kesihatan yang tidak diperakui serta tidak sah.
Katanya, KPDN akan melakukan siasatan terhadap kes tersebut mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.
“Kita boleh ambil tindakan terhadap mana-mana iklan yang mengelirukan dan palsu, jika ada unsur penipuan, laporan polis perlu dibuat.
“Bagaimanapun, setakat ini kita belum terima aduan berkaitan produk minuman itu, saya akan minta siasatan dilakukan bagi membanteras aktiviti jualan terutama produk yang melibatkan aspek kesihatan dan tidak menepati peraturan ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Jualan Rahmah peringkat negeri Terengganu di Kuala Ibai, di sini, hari ini.
Baru-baru ini, media melaporkan kebimbangan orang ramai berhubung penjualan air minuman tersebut yang dikaitkan dengan kumpulan ajaran sesat.
Susulan itu, aktiviti perniagaan membabitkan kilang air minuman tersebut di Johor telah ditutup dan sijil halal telah ditarik balik kerana gagal mematuhi piawaian ditetapkan kerajaan namun jualannya masih diiklankan secara berleluasa di Facebook dan TikTok.
Sebelum ini, peniaga air minuman itu mendakwa produk tersebut adalah air hayat iaitu air yang diperoleh Nabi Khidir hingga menjadikan baginda panjang umur malah boleh menyembuhkan pelbagai wabak penyakit zahir dan batin serta menghalang sihir.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata, syarikat yang ingin menjual produk berasaskan minuman kesihatan perlu mendaftarkan syarikat dan mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum memasarkan produk termasuk secara dalam talian. – UTUSAN