Perlu kajian sebelum pindahkan penempatan tanpa kebenaran atas tanah MBI - Utusan Malaysia

Perlu kajian sebelum pindahkan penempatan tanpa kebenaran atas tanah MBI

MOHD. Shukri Ramli (dua dari kiri) berbincang bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof (kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Muhammad Azmir Azizan (kanan) sewaktu Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri Perlis, hari ini. –UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri akan melakukan kajian terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan selanjutnya ke atas penempatan penduduk yang dibina tanpa kebenaran atas tanah milik Menteri Besar Incorporated (MBI).

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, kerajaan negeri perlu mengambil kira pelbagai perkara sebelum melaksanakan perkara itu khususnya membabitkan aspek kemanusiaan ke atas setiap penduduk terlibat.

“Berkenaan penduduk atas tanah MBI ini, kita akan kaji dahulu sebab ia libatkan banyak perkara antaranya aspek kemanusiaan.

“Perkara ini kena ambil masa kerana mereka juga rakyat Perlis dan di mana mereka akan duduk jika perkara ini tidak dikaji dengan sebaiknya terlebih dahulu,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Mohd. Shukri berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan dikemukakan oleh Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis-PN) berhubung strategi dan perancangan kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu penempatan setinggan tanpa kebenaran di atas tanah milik MBI.

Terdahulu, Mohd. Shukri turut menjawab pertanyaan lisan oleh Mohd Ridzwan Hashim (Guar Sanji-PN) berhubung jumlah keluasan tanah milik MBI di seluruh Perlis dan pulangan keuntungan buat kerajaan negeri.

Dalam pada itu, beliau berkata, buat masa ini, MBI mempunyai sebanyak 849 hak milik yang berkeluasan sekitar 353.09 hektar.

“Kadar keseluruhan cukai tahunan yang dikenakan adalah berjumlah RM1.6 juta dan sehingga kini, MBI telah menjelaskan hasil berkaitan tanah berjumlah RM7.36 juta.

“Manakala terdapat baki tunggakan belum dijelaskan iaitu berjumlah RM1.98 juta,” katanya.

Tambah Mohd. Shukri, pelabur-pelabur yang menggunakan tanah-tanah milik MBI juga perlu membayar premium sebelum diberikan kebenaran merancang bagi mengusahakan kawasan terlibat.

“Sekiranya mereka tidak dapat selesaikan bayaran maka kerajaan negeri tidak benarkan untuk sebarang pembinaan di atas tanah milik MBI,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya