PADANG BESAR: Usaha komuniti Perlis Climber membangunkan Bukit Keteri di sini sebagai lokasi aktiviti memanjat dinding batu atau rock climbing sejak 2009 membuahkan hasil apabila kawasan berkenaan menjadi tumpuan peminat sukan berkenaan dari seluruh dunia.
Usaha berkenaan turut dipelopori oleh Zainol Din,47, atau lebih dikenali sebagai Pak Non iaitu individu cukup dikenali bagi aktiviti memanjat dinding batu yang mempunyai peminatnya tersendiri.
Berkat usaha kumpulan berkenaan selama ini menjadikan Bukit Keteri yang merupakan antara laluan mendaki paling sukar di Asia itu bukan sahaja menjadi tumpuan peminat sukan tersebut dari negara ini malah turut menarik perhatian pendaki dari seluruh dunia.
Pak Non sudah bergerak aktif dalam aktiviti berkenaan sejak 1990-an lagi dan banyak melahirkan pelapis khususnya dalam kalangan anak muda bagi aktiviti ekstrem dan lasak itu.
Selain berperanan menyediakan laluan pendakian serta melatih pendaki baharu, Pak Non dan komuniti persatuan berkenaan juga bertanggungjawab menitikberatkan aspek keselamatan.
Ironinya, berkat usaha komuniti itu menjadikan Bukit Keteri kini bertaraf dunia untuk aktiviti rock climbing.
Katanya, terdapat lebih 63 laluan pendakian di Bukit Keteri daripada paling mudah sehinggalah paling sukar.
“Selain Bukit Keteri, antara kawasan rock climbing di negeri yang dibangunkan persatuan berkenaan adalah seperti di Gua Kelam, Bukit Jernih, Bukit Semadong, Guar Sami dan pelbagai lagi,” katanya.
Sementara itu, ahli persatuan berkenaan, Muhammad Amirul Baharti,32, pula berkata, Bukit Keteri sememangnya menjadi lokasi pendakian yang wajib disinggahi kerana beberapa laluan mendaki tersebut bertaraf dunia yang mempunyai pelbagai tahap kesukaran.
“Laluan memanjat yang disediakan itu sesuai bagi setiap peringkat dengan sistem keselamatan yang diselia oleh Perlis Climbers termasuk dari beberapa pendaki terkemuka dunia yang berkesempatan singgah bagi menyemarakkan aktiviti rock climbing,” katanya.-UTUSAN