KUCHING: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) meneruskan inisiatif proaktif bagi memperluas dan memperkukuhkan lagi jaringan keselamatan sosial dengan memeterai Memorandum Kolaborasi (MoC) bersama Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) bagi Program Social Synergy.
Pemeteraian MoC pada hari ini membawa aspirasi murni PERKESO dan SEDC dalam menangani permasalahan golongan sasar melalui perkongsian data dan Program Kesedaran Perlindungan Keselamatan Sosial yang meliputi skim perlindungan PERKESO untuk usahawan Negeri Sarawak seperti Skim Perlindungan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah.
Selain itu, intervensi pasaran buruh menerusi Sistem Insurans Pekerjaan PERKESO serta pelbagai aktiviti yang berkaitan juga akan dilaksanakan di bawah MoC ini.
MoC tersebut telah ditandatangani oleh Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, yang diwakili oleh Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) PERKESO, Encik John Riba Marin, bersama Datuk Haji Abdul Hadi Datuk Haji Abdul Kadir, Pengurus Besar SEDC.
Seiring dengan peranan SEDC sebagai agensi yang menggalakkan pembangunan industri, komersial serta sosio-ekonomi Negeri Sarawak, PERKESO yakin MoC ini akan memudahkan akses untuk rakyat negeri ini kepada bantuan yang diperlukan menerusi Program Social Synergy.
Ini dapat dilaksanakan menerusi pengumpulan data secara berpusat bagi mengelakkan keciciran dan pertindihan maklumat serta pewujudan pusat sehenti (one-stop centre) yang memberi akses kepada semua perkhidmatan
perlindungan sosial.
Kolaborasi strategik ini juga akan memperkasakan sistem perlindungan keselamatan sosial di negara ini, di mana PERKESO dapat membantu SEDC memastikan golongan yang memerlukan atau pencari kerja mendapat bantuan sewajarnya, seiring dengan prinsip ‘No Wrong Door Policy’.
Sejak tahun 2019 hingga 2023, lebih 23,000 prospek atau kes telah berjaya disalurkan ke pelbagai agensi berkaitan melalui Portal Sistem MySynergy yang dibangunkan oleh PERKESO. Prospek-prospek ini seterusnya dibantu oleh agensi-agensi terbabit berdasarkan keperluan masing-masing.
Sebagai sebuah platform keselamatan sosial yang sistematik, komprehensif dan holistik, yang menyediakan penyelesaian secara ‘end-to-end’, Program Social Synergy dilengkapi dengan tiga ciri perlindungan sosial iaitu
bantuan sosial, insurans sosial dan intervensi pasaran kerja untuk manfaat seluruh rakyat Malaysia yang memerlukan.
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk laman sesawang PERKESO di www.perkeso.gov.my \atau hubungi nombor Careline PERKESO menerusi talian 1-300-22-8000 atau e-mel ke [email protected]. – UTUSAN