Perjuangan bangsa jangan sampai cetus polarisasi kaum - Utusan Malaysia

Perjuangan bangsa jangan sampai cetus polarisasi kaum

Polarisasi kaum
AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatudin Al-Mustafa Billah Shah bertitah pada Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-97 di Dewan Agong Tuanku Canselor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan perjuangan untuk memartabatkan bangsa tidak seharusnya mencetuskan polarisasi kaum sehingga menggugat semangat perpaduan.

Baginda bertitah, polarisasi kaum apabila perpaduan semakin renggang antara satu sama lain yang disebabkan oleh perasaan, sikap, tujuan dan cita-cita yang mengakibatkan kurangnya berlaku perhubungan dalam kalangan masyarakat pelbagai bangsa.

“Polarisasi turut membawa implikasi sosio-budaya yang luas dan jika tidak dibendung akan mengundang unsur radikalisme dan ekstremisme sehingga mewujudkan skala pertentangan yang besar dalam masyarakat.

“Justeru, apa juga batasan pemisah, jurang perbezaan dan lautan prasangka, perlu segera direntasi dalam usaha melahirkan masyarakat masa hadapan yang hidup penuh keharmonian,” titah baginda pada pembukaan Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-97.

Pada istiadat itu,  Datuk Prof. Emeritus Dr. Hassan Said dan Datuk Abdul Wahab Aziz sebagai Pro Canselor UiTM yang baharu.

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong menyeru seluruh institusi pengajian tinggi awam dan swasta untuk memainkan peranan bagi mewujudkan semangat akomodasi antara kaum yang dalam masa sama tidak menghalang pembentukan satu identiti nasional.

“Kita boleh terus memartabatkan nasib dan masa hadapan kaum masing-masing menerusi pendidikan, tetapi dalam masa sama tidak mengenepikan usaha ke arah pembentukan satu identiti nasional.

“Sesungguhnya semangat akomodasi antara kaum dan kesepaduan dalam kepelbagaian adalah ciri demokrasi Malaysia yang paling bestari. Tanpanya, apa juga usaha ke arah membangunkan negara ini menjadi maju tidak akan menjadi kenyataan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya