SUNGAI SIPUT: Pengalaman perintah berkurung berikutan ancaman komunis pada 1970 hingga 1980-an masih segar dalam ingatan penduduk Sungai Siput.
Menurut seorang penduduk yang merasai pengalaman perintah berkurung, Meor Harun Meor Osman, 63, ia dikuatkuasakan oleh kerajaan di Sungai Siput berikutan ancaman pengganas komunis menyebabkan penduduk diarah tinggal di rumah dalam jangka waktu yang tertentu.
Katanya, ketika itu kawasan sekitar Sungai Siput dipenuhi anggota pasukan keselamatan bagi memerangi komunis.
“Semasa perintah berkurung dilaksanakan, penduduk tidak boleh keluar rumah terutama pada waktu malam, malah nak buka tingkap pun tidak boleh.
“Ketika itu Sungai Siput adalah kawasan hitam, hutan di kawasan ini merupakan kubu kuat pengganas komunis. Sungai Siput menjadi kubu komunis kerana kedudukannya dekat untuk ke Thailand, Kelantan dan Pahang melalui jalan hutan.
“Malah Sungai Siput antara kawasan terakhir yang diisytiharkan kawasan putih atau ditamatkan perintah berkurung iaitu selepas perjanjian damai di antara kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 1989 di Hatyai, Thailand yang membawa kepada peletakan senjata PKM.
“Keperitan semasa perintah berkurung masih saya ingat dan saya berharap apa yang generasi dahulu lalui tidak akan berulang. Sambutan kemerdekaan yang disambut setiap tahun wajar memberi kesedaran kepada rakyat agar menghargai keamanan yang dinikmati hari ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau yang juga Ketua Kampung Temin berkata, Sungai Siput mempunyai tarikan pelancongan sejarah kerana di sini berlaku peristiwa pembunuhan tiga pengurus estet berbangsa Inggeris oleh komunis pada 1948.
Katanya, peristiwa itu membawa kepada pengisytiharan darurat di seluruh negara.
“Di sini berlakunya pembunuhan Pengurus Estet Elphil, A.E. Walker pada 16 Jun 1948, diikuti pembunuhan pengurus ladang, John Alison dan pembantunya, Ian Christian di Estet Phin Soon, kini dikenali Ladang Sungai Siput.
“Peristiwa itu diabadikan di Galeri dan Monumen Darurat Malaya Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA),” katanya. – UTUSAN