Perhilitan Kedah tumpaskan sindiket pemburu haram di Ulu Muda

Perhilitan Kedah tumpaskan sindiket pemburu haram di Ulu Muda

JAMALUL Nasir Ibrahim (dua dari kanan) menunjukkan pelbagai jenis bahagian haiwan liar yang dirampas dalam sidang akhbar di Pejabat Perhilitan Kedah, Anak Bukit di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Satu sindiket pemburuan haram hidupan liar yang beroperasi di Hutan Simpan Ulu Muda, Sik dekat sini tumpas dengan penahanan enam individu termasuk dalangnya dalam serbuan pada 18 Ogos hingga semalam.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah, Jamalul Nasir Ibrahim berkata, pihaknya turut merampas pelbagai bahagian anggota haiwan terancam termasuk daging yang disejuk beku bernilai keseluruhan RM103,350.

Katanya, enam suspek yang berusia 40 hingga 63 tahun itu dipercayai menjalankan aktiviti tersebut sejak 10 tahun lepas.

“Op Hunter ini dijalankan berdasarkan risikan dan pemantauan berterusan Perhilitan di lokasi terlibat. Kesemua suspek dipercayai menjadikan aktiviti pemburuan haram ini sebagai sumber pendapatan utama hasil jualan buruan termasuk secara dalam talian di media sosial.

“Serbuan dilakukan di rumah semua suspek di Sik yang menemukan pelbagai bahagian anggota haiwan seperti kijang, rusa sambar, pelanduk, burung murai, tiong mas dan ruak-ruak. Bahagian termasuk kepala, kaki, kulit, tulang dan daging itu telah disejuk beku,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Perhilitan Kedah, di sini hari ini.

Beliau menambah, serbuan tersebut turut menemukan pelbagai senjata api termasuk buatan sendiri dan busur yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pemburuan haram berkenaan.

“Kesemua suspek akan disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022,” katanya.

Jamalul Nasir memberitahu, modus operandi sindiket adalah menjual haiwan berkenaan kepada ahli atau kenalan yang direkrut ke dalam satu kumpulan media sosial bagi mengaburi mata penguatkuasa.

“Hasil siasatan awal mendapat sindiket ini mempunyai satu kumpulan media sosial dan menjalankan urusniaga dalam kumpulan ini. Namun bukan mudah untuk menjadi ahli kumpulan itu kecuali yang mendapat kepercayaan daripada sindiket,” jelasnya.

Beliau berkata, haiwan dilindungi berkenaan mempunyai permintaan domestik yang tinggi terutama daging pelanduk dan rusa dengan daging pelanduk dijual antara RM100 hingga RM200 setiap kilogram sementara daging rusa pula mendapat sambutan ketika musim perayaan.

Pada masa sama Jamalul Nasir mendedahkan, sindiket terbabit turut menawarkan pakej pemburuan haiwan liar di hutan tersebut kepada ahli mereka.

“Kita percaya kumpulan sindiket ini melakukan kerja-kerja jenayah mereka di dalam hutan simpan tersebut dan apabila mendapat tawaran haiwan berkenaan akan dibawa pulang ke rumah masing-masing,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya