JOHOR BAHRU: Calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat yakin percubaan kali ketujuh beliau dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai akan memberikan kemenangan.
Justeru beliau berterima kasih atas sokongan diberikan pucuk kepimpinan parti-parti komponen yang mengiringinya berarak ke Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini bagi menyerahkan borang pencalonan.
“Saya lebih bersemangat dan yakin, percubaan kali ketujuh ini akan berakhir dengan kemenangan, kita akan berusaha mendapatkan kemenangan dengan majoriti meyakinkan.
“Alhamdulillah kesepakatan kukuh (dengan kehadiran menteri dan kepimpinan tertinggi parti). Ini merupakan pertama kali dalam sejarah Johor, dua gabungan politik besar bekerjasama berdepan PRK ini.
“Saya cukup yakin ia akan diterjemahkan dalam bentuk kertas undi pada 9 September ini,” katanya selepas namanya disahkan calon dalam PRK Parlimen Pulai.
Suhaizan komited meneruskan legasi dilaksanakan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub jika diberikan mandat. – UTUSAN