IPOH: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak sudah mengenal pasti sekolah-sekolah daif di negeri ini dan menghantar permohonan untuk baik pulih.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, keutamaan diberikan kepada sekolah daif yang mengalami masalah kerosakan dan yang tidak selamat.
Menurutnya, kerajaan mahu pelajar belajar dalam keadaan yang selamat.
“Kerajaan negeri membuat pemantauan dan penilaian dari segi teknikal dan prasarana sekolah terutamanya sekolah-sekolah daif untuk memastikan keselesaan dan keselamatan pelajar terjamin.
“Keutamaan akan diberikan kepada sekolah-sekolah daif yang dikhuatiri merencatkan proses pengajaran dan pembelajaran.
“Selain memastikan pelajar selesa, kita juga mahu memastikan pelajar selamat. Kita tidak mahu mereka mengalami apa-apa isu lain semasa belajar, keselamatan pelajar adalah keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Gotong-Royong Madani Peringkat Negeri Perak 2023 di Sekolah Kebangsaan Seri Klebang di sini hari ini.
Sebelum ini, kerajaan memperuntukkan RM6.5 bilion bagi pelaksanaan projek pembangunan semula bangunan daif di sekolah melibatkan 1,002 projek di seluruh negara sejak dari 2016 hingga 2023.
Sementara itu, Khairudin berkata, kebanyakkan sekolah di Perak sudah melaksanakan Program Gotong-Royong Madani yang bermula pada awal bulan Julai sehingga hujung tahun ini dengan menggunakan peruntukan yang disalurkan oleh pihak kementerian.
“Tujuan kita melaksanakan program 3K iaitu Kebersihan, Keselamatan dan Keceriaan ialah untuk memastikan pelajar dapat belajar dalam keadaan selamat dan kondusif.
“Ia juga adalah salah satu cara untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat luar, komuniti, penglibatan pihak swasta kepada pihak sekolah kerana kita mahu jadikan sekolah untuk masyarakat bukan untuk golongan tertentu,” katanya. – UTUSAN