IPOH: Menyedari kemampuan lawan, Perak FC mengamal sikap ‘ukur baju di badan sendiri’ apabila turun bertemu gergasi bola sepak Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.
Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, Perak FC sedar kemampuan pasukan sendiri, jadi tidak akan berangan-angan besar.
“JDT terlalu handal, mereka tidak pernah kalah di gelanggang sendiri, memang kami tidak ada peluang dalam perlawanan ini,” katanya.
Sebaliknya, kata Abdul Azim, Perak FC mahu menumpukan perhatian terhadap pertembungan kedua Piala Malaysia menentang Kedah di Stadium Darul Aman pada 18 Ogos ini.
Menurutnya, Perak mempunyai kelebihan dalam perlawanan itu selepas menang 3-1 di Ipoh pada aksi di sini pada 3 Ogos lalu.
“Kami ingin mempertahan kelebihan itu bagi meneruskan kemaraan. Ia memang satu tugas yang sukar tetapi saya yakin Perak FC berupaya mencapai hasrat itu jika beraksi dengan baik,” katanya.
Oleh yang demikian, beliau berharap ketua jurulatih, Yusri Che Lah bijak mencatur strategi dan perancangan bagi menghadapi Kedah.
Katanya, pasukan Bos Gaurus perlu berada dalam keadaan bersedia untuk pertemuan dengen Kedah nanti.
“Kita perlu barisan terbaik untuk pertemuan dengan Kedah, jadi pemain utama perlu mendapat rehat mencukupi agar segar. Perak FC tidak perlu menurunkan mereka pada perlawanan malam ini,” katanya. – UTUSAN