‘Penyanyi di hutan’ ditemukan di Perlis - Utusan Malaysia

‘Penyanyi di hutan’ ditemukan di Perlis

UNGKA tangan putih yang merupakan salah satu daripada tujuh spesies primat sempat dirakam di kompleks hutan di Perlis Geopark, Bukit Ayer, Perlis baru-baru ini. – UTUSAN/SYAMIL ABD. RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Ungka tangan putih atau lar gibbon (hylobates lar), salah satu daripada tujuh spesies primat, ditemukan di kompleks hutan Perlis Geopark, Bukit Ayer di sini terutama di sepanjang Banjaran Nakawan.

Ungka tangan putih adalah spesies terkecil dalam kala­ngan ‘ape’ yang terdiri daripada orang utan, chimpanzee dan gorila.

Spesies tersebut menghabiskan sepenuh hidupnya dengan bergayut daripada pokok ke pokok, berkomunikasi menggunakan vokal lantang yang kede­ngaran di seluruh habitatnya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengasas Perlis Nature & Wildlife (PNW), Syamil Abd. Rahman berkata, spesies berkenaan menggemari pucuk-pucuk daun, buah-buahan, bunga-bungaan dan serangga sebagai sumber protein daripada paras kanopi hutan.

Malah katanya, ungka ta­ngan putih tersebut turut minum daripada sumber air hujan yang bertakung di lubang atau kaviti pokok.

“Kita mungkin pernah mendengar bunyi mendayu, sayup-sayup dan saling bersahutan di kompleks hutan ini dari kejauhan tanpa mengetahui pemiliknya yang sebenar.

“Itulah sebenarnya ungka tangan putih, spesies terkecil dalam kalangan ‘ape’,” katanya.

Katanya, tangan spesies itu yang panjang dan kuat melebihi badannya digunakan untuk bergayut dan bergerak senyap serta pantas di celahan rimbunan pokok jika berasa terancam di kawasan persekitarannya.

“Jadi amat sukar dan mungkin tidak sempat untuk kita melihat kelibatnya sebelum ia terlebih dahulu melihat kita kerana spesies berkenaan sa­ngat pemalu dan sensitif meskipun dikenali sebagai ‘penyanyi di hutan’.

“Laungan vokal ungka tangan putih yang didengari sepanjang masa di sesebuah kawasan hutan itu turut menjadi indikator kepada sejauh mana perkembangan populasi spesies berkenaan dipengaruhi oleh habitat yang sihat dan terpelihara sebagai sumber diet hariannya selagi ia tidak dimusnahkan bagi pelbagai tujuan,” katanya.

Katanya, ia dilindungi sepenuhnya di bawah Akta 716, Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan tertakluk kepada bidang kuasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi sebarang pelanggaran akta berkaitan spe­sies dilindungi.

“Kini tiba masanya pengiktirafan Perlis Geopark memainkan peranan demi kelestarian warisan biologi kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya