Penyandang DUN Ayer Hitam yakin rakyat dapat nilai perkhidmatannya - Utusan Malaysia

Penyandang DUN Ayer Hitam yakin rakyat dapat nilai perkhidmatannya

AZHAR Ibrahim (kiri) turun padang melawat salah seorang pemimpin veteran tempatan, Salleh Lebai Yunus, 87, (dua dari kanan) di Kampung Pak Chik, Jerlun, Kedah. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERLUN: Calon Perikatan Nasional (PN) yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam, Azhar Ibrahim yakin rakyat dapat membuat penilaian sebaiknya atas perkhidmatan disampaikan beliau sepanjang menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Menurut Azhar, banyak perkara telah diusahakannya sepanjang lima tahun ini bagi membantu menyelesaikan permasalahan rakyat di Ayer Hitam yang sebahagian besar merupakan kawasan pertanian.

Menurut beliau, pihaknya akan meneruskan khidmat itu sekiranya dipilih dengan memberi fokus terhadap kemudahan infrastruktur, bantuan perniagaan dan program buat golongan belia di kawasan berkenaan.

“Kita akan fokus kepada kehendak petani dalam memastikan tanaman mereka terjamin dengan bekalan air mencukupi, pelaksanaan penyelengaraan parit dan pemberian baja yang sewajarnya,” katanya ketika ditemui di Kampung Pak Chik, di sini, semalam.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini, Azhar bakal dicabar oleh bekas anak muridnya, Hayazi Azizan dari Barisan Nasional (BN) menerusi pertembungan satu lawan satu di kerusi DUN Ayer Hitam.

Azhar memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan majoriti 537 undi selepas menewaskan Datuk Aziz Mahamod (PKR) dan Datuk Abu Hasan Sarif (Barisan Nasional).

Dalam pada itu, mengulas mengenai tindakan bekas Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Jerlun, Abdul Ramli yang memilih bertanding atas tiket Bebas di kerusi DUN Kota Siputeh, Azhar berkata, perkara itu tidak akan memberi kesan kepada calon PN, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir.

“Insya-Allah orang-orang Pas tidak akan ikut calon Bebas itu kerana ahli parti ini akan hanya sokong calon yang diputuskan oleh pimpinan.

“Pas ini mudah sahaja kerana ahlinya walak kepada pimpinan,” katanya.

Tambahnya, jentera parti itu juga sentiasa bersiap sedia dalam menggerakkan kempen bagi memastikan gerak kerja yang lebih mantap.

“Malah sambutan diterima daripada masyarakat juga amat baik dan kita akan bergerak lebih agresif selepas ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya