Penumpang teruja, gembira guna feri baharu Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Penumpang teruja, gembira guna feri baharu Pulau Pinang

SELEPAS sebulan beroperasi secara percuma, pengguna feri baharu Pulau Pinang akan dikenakan bayaran sebanyak RM1 bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan RM2 bagi dewasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Perkhidmatan feri baharu Pulau Pinang yang mula beroperasi secara rasmi hari ini bagi menggantikan feri ikonik mendapat pujian daripada para penumpang.

Rata-rata mereka yang ditemui menyatakan rasa teruja dan gembira apabila pengangkutan feri baharu yang disediakan bagi menghubungkan pulau dengan tanah besar itu kini lebih selesa dan pantas.

Seorang penumpang, Ahmad Aizad Azizan, 29, berkata, perjalanan dari Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH), Butterworth menuju Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) di bahagian pulau dengan mengggunakan feri baharu itu amat selesa.

AHMAD AIZAD AZIZAN

”Saya kebetulan baru tiba dari Kuala Lumpur dengan menggunakan bas, jadi saya mahu ke bahagian pulau dengan feri.

”Saya tidak sangka perkhidmatan feri baharu bermula hari ini, saya lihat ruang dalam feri amat selesa dan luas buat penumpang, malah ia turut dilengkapi kemudahan pendingin hawa serta tandas yang selesa,” katanya di sini hari ini.

Feri Pulau Pinang kini berwajah baharu dengan adanya empat buah feri baharu yang dinamakan sebagai Teluk Bahang; Teluk Kampi; Teluk Duyung dan Teluk Kumbar menggantikan feri ikonik Pulau Pinang.

Menurut Ahmad Aizad, perkhidmatan feri baharu itu amat pantas iaitu kira-kira 10 minit sahaja dari Butterworth ke George Town.

”Saya tidak sempat melelapkan mata di dalam feri, kalau dahulu jika kita gunakan feri ikonik memang dapat lelapkan mata sebenar tetapi sekarang perkhidmatan feri ini amat pantas,” katanya.

Seorang lagi penumpang, Gooh Wei Chun, 50, berkata, dia menggunakan perkhidmatan feri setiap hari kerana bekerja di bahagian pulau dan mendapati perkhidmatan feri baharu itu amat mesra pengguna.

GOH WEI CHUN

”Ruang menunggu feri di terminal berhawa dingin dan ia amat selesa untuk penumpang yang mahu berehat sebentar sementara menunggu feri tiba.

”Selain itu, kedua-dua terminal juga dilengkapi dengan ruang kedai dan gerai makanan,” katanya.

SURAYA KHOR ABDULLAH

Sementara itu, seorang lagi penumpang, Suraya Khor Abdullah, 55, berkata, urusan pembelian tiket feri juga amat mudah kerana penumpang boleh membelinya menerusi sistem e-ticketing dan juga menerusi e-wallet seperti Touch N Go, DuitNow QR Pay dan lain-lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya