Penulisan skrip tema agama makin kurang - Utusan Malaysia

Penulisan skrip tema agama makin kurang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, pelakon senior, Fathil Dani, 64, membangkitkan persoalan tentang drama bersiri bertemakan keagamaan yang pada pandangannya, semakin berkurangan.

Pernah sepentas bersama Allahyarham M. Rajoli, Fathil yang berkecimpung dalam bidang seni sejak 1985 merindukan naskhah yang dapat mendidik khalayak penonton.

Hits mendapatkan pandangan penulis skrip drama terkenal, Siti Jasmina Ibrahim berhubung isu ini.

Sebagai penulis skrip, Siti Jasmina berkata, golongan sepertinya masih diberikan ruang oleh pihak stesen televisyen untuk menulis naskhah berkisarkan kisah keagamaan.

Katanya, pelbagai jenis drama boleh diangkat bagi mengisi ruang pada sebelah malam (rating tinggi) dengan mengangkat tema Islam sebagai jalan hidup dengan cara yang kreatif.

“Kalau dulu ada slot khas, contohnya, slot Zehra di TV3 pada setiap hari Jumaat untuk drama siri berunsurkan keagamaan, tetapi sekarang sudah tiada lagi.

“Semasa TV Alhijrah aktif dengan slot drama, stesen itu juga menyiarkan drama tema keagamaan, begitu juga dengan Astro seperti di saluran Astro Oasis. Sepatutnya ia perlu terus diaktifkan dengan perancangan promosi dan konsep penceritaan terkini.

“Walaupun slot yang dulu ada, sudah tiada atau dikurangkan oleh stesen tv, ia masih tidak menghalang penulis untuk menulis jalan cerita mereka berlandaskan kehidupan umat Islam di zaman moden,” katanya yang juga seorang cerpenis dan novelis ini.

PENERIMAAN PENONTON

Disoal penerimaan penonton, isteri kepada pelakon terkenal, Khir Rahman ini berkata, perkara itu sangat subjektif.

Baginya, drama yang dominan konsep Islamnya masih diterima dengan baik, malah ada yang menerima rating tinggi apabila jalan ceritanya digarap dengan kuat dan menarik.

Selain itu, jelasnya, antara faktor penting juga adalah pemasaran dan kaedah mempromosikan drama tersebut serta barisan pelakon yang boleh menarik pelbagai lapisan penonton.

“Ada juga drama berkonsep Islamik yang tidak mendapat sambutan dan antara sebabnya kerana faktor pemasaran dan pemilihan pelakon yang tidak cukup untuk menarik penonton.

“Walaupun skrip, kerja pengarahan yang perlu berkualiti, kita tidak boleh menafikan antara daya tarikan penonton yang biasa di hadapan kaca tv, ialah para pelakonnya. Bukan hanya popular tetapi perlu pelakon yang berkualiti,” katanya.

Sebagai penulis skrip, sudah tentu cabarannya berbeza di zaman sekarang. Katanya, cara menyusun jalan cerita yang sentiasa segar dalam penerapan kisah berlandaskan Islam merupakan cabaran besar.

Cerita konvensional boleh sahaja ditulis tetapi bagaimana pengolahannya menjadi sesuatu yang baharu dan menarik.

Selain daripada itu, bonus buat penulis apabila mendapat pengarah drama yang bijak, serius dan kreatif kerja pengarahannya, kerana hasil akhir yang ditonton ialah hasil kerja seorang pengarah.

Jelasnya, semua ini bertujuan mengelakkan tanggapan biasa penonton terhadap kehambaran drama Islamik yang mendatar, syarahan dan ceramah semata- mata itu, tidak berlaku.

“Makna kata, perlu menggunakan pelbagai genre penceritaan untuk menyampaikan nilai Islam.

“Contoh naskhah yang pernah menerima rating tinggi untuk drama bersiri ialah Nur Kasih, Nur, Ustaz Amirul, Geng Surau, Kerna Syurga Bukan Percuma, Makbul dan Ayahanda,” katanya.

CARA HALUS

Jika diberi peluang menghasilkan naskhah sedemikian, Siti Jasmina berkata, dia mahu mengupas lebih banyak lagi isu penyongsangan akidah umat Islam oleh golongan anti-Islam dan mereka yang mengamalkan ajaran sesat.

Jelasnya, ajaran sesat bukan sahaja menggunakan tangkal dan sihir semata-mata, sebaliknya pengisian menyesatkan tanpa umat Islam itu menyedarinya.

Kongsinya, cara hasutan menggunakan pemikiran dan teori moden yang boleh memesongkan hati umat Islam itu yang masih kurang dipaparkan secara berani di dalam drama.

“Saya pernah tulis skrip drama bersiri ‘Jalan Sesat ke Syurga’ di Astro Prima, pernah tular drama itu semasa ditayangkan sebab kami ketengahkan isu wanita yang menjadi imam masjid dengan jemaahnya terdiri daripada kaum lelaki dan wanita.

“Maklum balas luar biasa yang diterima apabila ada yang mendedahkan pengalaman mereka sendiri melaluinya.”

“Saya mahu angkat lebih banyak drama yang menimbulkan kesedaran tentang hal ini, kerana ia jelas berlaku dalam masyarakat secara senyap dan ia merupakan perkara yang perlu kita ambil serius,”katanya.

Untuk rekod, Siti Jasmina pernah memenangi beberapa anugerah dalam bidang penulisannya dan banyak menghasilkan skrip sejak 1997 bagi telefilem, drama pentas dan drama bersiri antaranya 3 Janji, Ustaz Amirul, Niyang Rapik, Khilaf Asmara.

Terkini, drama hasil skripnya sempena Aidiladha telah memenangi Drama Terbaik Anugerah Seri Angkasa 2022 bertajuk Pencipta Pegang Waktu dan drama bersiri hasil skrip adaptasinya Suamiku Lelaki Pendosa memenangi Drama Terbaik Anugerah Drama Sangat 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya