KUALA TERENGGANU: Seorang penolong pegawai tadbir kanan di sebuah jabatan kerajaan negeri di Terengganu ditahan reman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa sejak 2021 sehingga tahun lalu.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.
Suspek terdahulu tiba di pekarangan mahkamah berpakaian lokap SPRM kira-kira 9.50 pagi tadi.
Lelaki yang berusia 59 tahun itu didakwa menyalahgunakan jawatannya dengan memberikan 70 perolehan membaiki kenderaan jabatan bernilai sekitar RM130,000 kepada syarikat milik isterinya.
Penolong pegawai tadbir kanan itu turut mengesyorkan kerja pembaikian kenderaan jabatan kepada bengkel milik koperasi yang mana suspek ialah ahli lembaga dan setiausaha jawatankuasa perdagangannya.
Suspek ditahan semasa hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Terengganu, kira-kira pukul 11 pagi semalam.
Kes disiasat mengikut bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009. – UTUSAN