KUALA LUMPUR: Komplikasi fizikal dan psikologi susulan penggunaan serta penyalahgunaan dadah perlu ditangani dengan rawatan dan pemulihan dan bukannya melalui kaedah ketika ini yang lebih berbentuk kepada tahanan.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, statistik menunjukkan bahawa lebih separuh daripada penghuni penjara negara ini terdiri daripada mereka yang disabitkan dengan kesalahan berkaitan penggunaan dadah.
Katanya, ia sesuatu yang sangat membimbangkan, selain jumlah keseluruhan mereka yang terlibat dengan dadah jauh lebih besar daripada mereka yang terlibat dengan alkohol dan merokok.
“Jadi kita tahu penjara bukan tempat untuk diberi rawatan dan rehabilitasi kepada penagih dadah.
“Sebahagian daripada penagih dadah pula terpaksa diasingkan di pusat-pusat rawatan dan pemulihan dan ini boleh merencatkan tahap kefungsian mereka sebagai seorang ahli masyarakat yang produktif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian 1st Addiction and Forensic Psychiatry Symposium 2023 yang bertemakan Navigating Roadblocks: Recapturing Life di sini.
Menurut Dr. Zaliha, titik pertembungan antara bidang psikiatri dan forensik selalu bermula di fasiliti perubatan, mahkamah dan pusat tahanan.
Katanya, pengamal perubatan sering kali berdepan keperluan untuk membuat penilaian ke atas penagih dadah yang telah atau sedang mempunyai pendakwaan undang-undang.
Malah katanya, pengamal perubatan di pusat tahanan pula berdepan cabaran dengan pesalah yang bergelut gejala seperti penarikan atau kerencatan fizikal dan mental disebabkan dadah yang mereka gunakan.
“Ini menyebabkan kesukaran bagi membentuk pelan rawatan perubatan berkesan yang juga mermuhi kehendak perundangan.
“Hasilnya penyakit akan bertambah buruk dan sistem pengadilan akan bertambah sesak,” katanya.
Tambah beliau, semua pihak harus sedar dan mengaku bahawa terdapat banyak jurang yang harus ditangani antara penguatkuasaan, perundangan dan rawatan perubatan untuk mereka yang menggunakan dadah.
Justeru katanya, cara terbaik perlu difikirkan dalam menyelesaikan perkara berkenaan.
“Selain intervensi pencegahan dan rawatan perubatan dalam komuniti yang longgar dan berselerakan juga turut menjadi cabaran kepada intervensi yang ingin kita laksanakan dalam pusat pemulihan dan tahanan.
“Cabaran lain adalah dari sudut perundangan harus diatas bagi memastikan penyaluran kesinambungan dan kelestarian rawatan dan pemulihan diberikan.
“Sistem perundangan rawatan yang bersandarkan community based approach boleh menjadi pemangkin perubahan yang dikehendaki,” katanya.
Pada masa sama Dr. Zaliha berkata, beliau akan memastikan perkhidmatan klinikal dalam kementerian yang terbabit dalam proses rawatan dan pemulihan penagihan dan forensik diberikan perhatian dan keutamaan.
Katanya, ia terutamanya dalam memperolehi ubat-ubatan dan intervensi yang sesuai dengan cabaran pada masa kini.
“Satu sistem rujukan kes yang lebih interaktif antara perkhidmatan psikiatri forensik dengan pemegang taruh yang lain seharusnya diwujudkan juga.
“Sistem ini boleh digunakan bagi melicinkan kes antara agensi terbabit untuk mengelakkan keciciran pesakit dan pelanggan yang menggunakan perkhidmatan yang akan diberikan,” katanya. – UTUSAN