Peniaga letak syarat beli gula berdepan tindakan - Utusan Malaysia

Peniaga letak syarat beli gula berdepan tindakan

NOTIS diletakkan peniaga yang mengenakan syarat pembelian gula dikesan di sebuah kedai di Batu Gajah. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Tindakan sebuah premis perniagaan di sini mengenakan syarat pembelian gula kepada pelanggan mengundang padah apabila dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, dalam pemeriksaan pada pukul 1.30 petang itu, seorang lelaki dipercayai pemilik premis ditahan untuk diambil keterangan.

“Kejayaan ini adalah hasil operasi penyamaran dengan melakukan uji beli oleh anggota penguat kuasa KPDN setelah menerima aduan orang awam berkaitan penjualan barang kawalan gula bersyarat.

“Berdasarkan aduan, pembeli perlu membeli gula putih jernih dengan harga RM4.50 sebelum dibenarkan membeli gula kasar dengan harga RM2.85.

“Hasil uji beli yang dijalankan mendapati, aduan yang dilaporkan adalah tepat, malah pemeriksaan juga menemui notis yang diletakkan di kotak dan digantung di rak jualan dengan menyatakan syarat pembelian tersebut,” katanya di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya, satu kesalahan disyaki telah dilakukan peniaga di bawah Seksyen 19 Akta Kawalan Bekalan 1961 berkaitan penjualan bersyarat barang kawalan.

Katanya, tindakan telah diambil dengan melaksanakan sitaan iaitu 100 kilogram (kg) gula kasar, 74kg gula putih jernih dan dokumen berkaitan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM620.85.

“Para peniaga diingatkan agar tidak mengenakan apa-apa syarat bagi pembelian barang kawalan kerana ia adalah satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Peniaga juga diingatkan agar menjalankan perniagaan seperti mana kehendak perundangan sedia ada sekali gus lebih beretika di mana tindakan tegas akan diambil sekiranya gagal mematuhi perundangan yang ditetapkan di bawah akta yang dikuatkuasakan oleh KPDN,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya