ARAU: Pengundi pada hari ini sudah lebih terbuka dan cerdik dalam membuat keputusan memilih calon terbaik bagi membela nasib mereka dengan semua parti politik sudah tidak boleh berada dalam keadaan selesa.
Majoriti rakyat pelbagai lapisan umur dan kaum sudah tidak termakan dengan budaya ‘gula-gula’ politik, cakap-cakap kosong semasa kempen pilihan raya memandangkan amalan tersebut sebenarnya sudah lapuk dan tidak menunjuk keberkesanan kemajuan minda, pembangunan negara serta landskap politik yang sihat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemerhati politik yang juga pensyarah kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis, Dr. Shamshul Anaz Kassim berkata, pilihan raya adalah cukup penting bagi memilih pemimpin yang berkualiti bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
Katanya, kesilapan memilih pemimpin bakal memberi kesan kepada masyarakat, ekonomi, budaya dan sebuah negara serta negeri itu sendiri.
Bagaimanapun katanya, pengundi dan rakyat sekarang sudah cerdik dan mereka sudah tahu menilai antara kaca dan permata.
“Rakyat sekarang hendak calon yang dipilih sebagai pemimpin dan memimpin dengan cekap, telus dan buktikan hasil kerja telah dibuat yang boleh dirasai rakyat. Calon-calon juga harus berbicara dengan benar, telus dan amanah berdasarkan fakta bukan auta.
“Maksudnya, apa yang dikata semasa kempen pilihan raya harus dibuat seperti yang dikata dan dijanjikan. Tiada lagi dengan janji-janji kosong dan cakap tak serupa bikin.
“Rakyat dan pengundi tidak mahu lagi memilih calon dan pemimpin yang hanya pandai berkata-kata, janjinya kosong dan hasilnya tiada. Rakyat tidak mahu pemimpin yang penuh dengan hasutan dan menanam psikologi kebencian atau strategi perang saraf yang berbaur negatif,” katanya.
Tambah Shamshul Anaz, sepanjang tempoh kempen pilihan raya, rakyat sudah pastinya mahu mendengar berkenaan perancangan dan tindakan yang boleh mengatasi masalah mereka.
Katanya, budaya kempen atau sentimen menyalahkan pihak sana dan sini sudah tidak boleh menarik sokongan rakyat.
“Calon-calon juga perlu membuktikan apabila mereka dipilih oleh pengundi dan rakyat sebagai pemimpin mampu mencorakkan landskap pemerintahan yang sihat dan harmoni,” katanya.
Katanya lagi, antara ciri-ciri pemimpin yang baik boleh menjadi pilihan pengundi adalah seperti berintegriti, amanah, kemahiran komunikasi yang baik, memiliki kepakaran dan pengalaman, mendengar keluhan rakyat, berusaha untuk majukan rakyat, bersedia untuk belajar dan berubah, sikap merendah diri dan tawaduk serta mesra rakyat serta berwibawa.
Justeru katanya, rakyat harus memilih ciri-ciri pemimpin sebegini bukannya sekadar pandai berbicara tapi hasilnya tiada.
Dalam pada itu, katanya, sudah tiba masanya kempen pilihan raya termasuk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini akan lebih tersusun dan mempunyai hala tuju yang benar-benar menjanjikan apa yang dikata.
“Rakyat dan pelabur mendengar, melihat dan menilai ke arah isu membina negara yang lebih stabil dalam konteks peradaban politik, ekonomi, sosial, dan budaya. Moga PRN kali ini dapat mencorakkan pola kehidupan yang lebih baik bagi rakyat dan negara,” katanya.-UTUSAN