Pengundi Bukit Kayu Hitam mahukan wakil rakyat senang didekati - Utusan Malaysia

Pengundi Bukit Kayu Hitam mahukan wakil rakyat senang didekati

ZAINOL Abidin Mohamad (kanan) turun padang mendekati masyakat sewaktu Program Kacau Bubur Asyura di Kampung Telok Ara, Kubang Pasu, Kedah. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kayu Hitam dilihat lebih memberi sokongan kepada pemimpin yang senang didekati untuk dipilih sebagai wakil rakyat mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Kriteria tersebut adalah penting memandangkan pengundi di DUN itu tidak mahukan wakil rakyat yang bermusim.

Calon Barisan Nasional (BN) kerusi DUN Bukit Kayu Hitam, Zainol Abidin Mohamad, 65, berkata, kebanyakan pengundi kali ini telah mengambil pengajaran daripada pemilihan ahli Parlimen kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu yang mana pihak berkenaan amat sukar untuk dihubungi selepas dipilih menang dengan majoriti besar.

“Mereka (rakyat) sukar untuk cari ahli Parlimen itu bagi menyatakan sebarang masalah atau meminta rujukan dan akhirnya rakyat terpaksa mencari pemimpin UMNO dan BN untuk membantu mereka.

“Pengundi kini mahukan wakil rakyat yang boleh didekati dengan pendekatan merendah diri dan tidak terlalu mengikut protokol,” katanya selepas Program Kacau Bubur Asyura di Kampung Telok Ara, di sini, hari ini.

Pada PRN kali ini, Zainol bakal mencabar penyandang kerusi DUN Bukit Kayu Hitam, Datuk Halimaton Shaadiah Saad dari Perikatan Nasional (PN) yang juga merupakan bekas anak muridnya.

Halimaton memenangi kerusi itu pada PRU14 dengan majoriti sebanyak 2,153 menerusi pertembungan tiga penjuru menentang Datuk Ahmad Zaini Japar (BN) dan Habshah Bakar (Pas).

Dalam pada itu, Zainol atau lebih dikenali sebagai Cikgu Non berkata, bagi memastikan Bukit Kayu Hitam dapat dibangunkan, pengundi di kawasan itu perlu memilih BN agar pentadbiran di DUN dan kerajaan pusat adalah selari.

“Dari maklum balas yang diterima, pengundi juga optimis bagi menangkan BN di Bukit Kayu Hitam demi kelangsungan ekonomi masyarakat dan penduduk di sini,” katanya.

Tambahnya, setakat ini, pihaknya telah turun padang ke hampir 60 peratus kawasan di DUN Bukit Kayu Hitam dalam mendekati seramai mungkin pengundi menjelang hari pengundian pada 12 Ogos ini.

“Kita ada baki lagi 40 peratus kawasan untuk dimasuki dan saya yakin gelombang perubahan itu dapat dirasai di Bukit Kayu Hitam pada PRN kali ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya