Penghuni pusat jagaan didakwa bunuh rakan - Utusan Malaysia

Penghuni pusat jagaan didakwa bunuh rakan

LAI Mun Kong (tengah) dihadapkan di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki minggu lalu. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang penghuni sebuah pusat jagaan di Chemor dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki , minggu lalu.

Tertuduh, Lai Mun Kong, 50, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Lim Han Tong, 42, di dalam tandas di sebuah pusat jagaan di Jalan Jelapang Chemor di Ipoh antara pukul 6 hingga 6.50 pagi, pada 24 Ogos 2023.

Pertuduhan terhadap Mun Kong dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin memohon tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat selain memohon tertuduh yang tidak diwakili peguam itu dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan mental.

Jesseca kemudian membenarkan permohonan Nur Aqilah Syaza Nor untuk tertuduh dibawa ke hospital bagi membolehkan laporan kesihatan mental diperoleh.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 29 September depan.

Tertuduh sebelum ini ditangkap selepas terbabit dalam pergaduhan sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki lain yang juga penghuni pusat jagaan berkenaan.

Mangsa ditemukan oleh pengurusan pusat jagaan tersebut dalam keadaan terlantar tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dalam tandas selain terdapat kesan kecederaan di muka.

Siasatan awal mendapati, tertuduh mengaku menumbuk mangsa dan memijak kepalanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN