KOTA KINABALU: Penghayatan kemerdekaan dalam kalangan masyarakat terutama golongan belia dilihat semakin berkurang dan agak membimbangkan sekiranya tidak disemai semula.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Majlis Belia Sabah (MBS) Abqaree Fawwaz Abekan berkata, golongan belia hari ini seolah-olah mengambil mudah sambutan hari kemerdekaan kerana nilai kecintaan terhadap negara sudah semakin berkurang.
Namun, tidak dinafikan masih ada segelintir kelompok masyarakat di peringkat kampung yang menitikberatkan sambutan kemerdekaan kerana penghayatan mereka terhadap hari kemerdekaan itu masih tinggi.
Beliau berkata, penghayatan yang semakin berkurang itu mungkin didorong oleh pelbagai faktor seperti ketidakstabilan politik dan ekonomi hingga menyebabkan orang lebih fokus untuk bekerja demi kelangsungan hidup.
Katanya, sambutan hari kemerdekaan sekarang juga tidak sama seperti 10 tahun lalu yang menyaksikan pelbagai pengisian program dan aktiviti diadakan sepanjang tempoh bulan Ogos. Maka, kerajaan perlu mengambil inisiatif melaksanakan lebih banyak program sepanjang bulan kemerdekaan.
Dahulu tayangan filem-filem mengenai kemerdekaan juga turut ditayangkan di pawagan dengan tiket kemasukan secara percuma. Ini antara cara untuk menarik anak muda menonton yang boleh menanam semangat cintakan negara.
Walau bagaimanapun, tanggungjawab menghayati kemerdekaan itu tidak seharusnya diletakkan di bahu kerajaan semata-mata, semua lapisan masyarakat juga perlu memainkan peranan masing-masing.
“Malah, jika dilihat sekarang pemasangan bendera juga bukan lagi satu kewajipan bagi sesetengah orang. Hanya bangunan kerajaan dan swasta sahaja yang mengibarkan bendera Jalur Gemilang.
“Di Kawasan perumahan, kibaran bendera semakin kurang dilihat kerana orang semakin tidak mengambil peduli tentang semangat kemerdekaan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Teo Kok Teo berkata, kemerdekaan itu sesuatu yang perlu diingati terutama perjuangan pemimpin terdahulu yang sanggup berkorban demi kemerdekaan negara ini.
TEO KOK TEOBerdasarkan pengamatannya sebagai mahasiswa di universiti awam, merdeka bermaksud memberi mereka autonomi dalam mengurus tadbir program dan aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada pelajar.
“Malah, saya lihat pelajar semakin menyedari dan memperingati makna kemerdekaan menerusi pelbagai program yang diadakan di peringkat universiti.
“Tahun ini sambutan lebih meriah kerana sejak awal Ogos lagi, saya sudah lihat kibaran Jalur Gemilang dan bendera Sabah diletakkan di jalan-jalan utama,” katanya.
Namun, beliau berharap kerajaan akan memanfaatkan laman media sosial seperti tiktok bagi melaksanakan kempen penghayatan kemerdekaan berdasarkan video-video pendek. Pendekatan sebegini akan sampai kepada generasi muda yang kini lebih gemar menggunakan telefon pintar dan peranti. –UTUSAN