SHAH ALAM: MCA Selangor kehilangan salah satu tonggak kekuatan mereka apabila Pengerusinya, Datuk Ng Chok Sin meninggal dunia, petang semalam.
Timbalan Pengerusi MCA Selangor, Tan Gim Tuan berkata, Chok Sin disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 7 petang di salah sebuah pusat perubatan di Taman Desa, Kuala Lumpur.
“Keluarganya maklum pada saya bahawa mendiang pergi joging dalam pukul 5 petang di sekitar kawasan tempat tinggalnya di Taman OUG, Kuala Lumpur. Namun secara tiba-tiba, dia tersungkur dan ahli keluarganya terus membawanya ke pusat perubatan itu bagi mendapatkan rawatan segera,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Menurutnya, Chok Sin, 55, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Cina, Sepang pada Khamis ini memandangkan beliau memang berasal dari Kampung Baru, Sungai Pelek.
Menceritakan keperibadian mendiang, Gim Tuan berkata, beliau merupakan seorang yang bertanggungjawab dan sentiasa komited ke atas tugas yang diberikan kepadanya.
“Buat sementara waktu ini, jawatan Pengerusi MCA Selangor akan dikosongkan sehingga kepimpinan MCA Pusat melantik ahli lain menjawat jawatan tersebut. MCA Selangor kehilangan seorang pemimpin yang sentiasa mengambil berat terhadap ahli serta rakyat Selangor,” katanya. – UTUSAN