KUALA LUMPUR: Penganjuran Forum Serantau ASEAN bagi Ketua Universiti/Kolej/Institusi Pertahan (ARF HDUCIM) Ke-25 oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) membuktikan keupayaannya sebagai universiti tunggal yang memiliki kepakaran dalam bidang pertahanan dan keselamatan di negara ini.
Keupayaan UPNM menganjurkan acara peringkat serantau itu turut membanggakan warga Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan meletakkan ia sebagai rujukan utama dalam kedua-dua bidang tersebut.
“Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) merupakan universiti tunggal yang mempunyai kepakaran bidang pertahanan dan keselamatan dan menjadi tempat rujukan.
“UPNM ialah mercu kecemerlangan, menggalakkan pertumbuhan intelek dan pembangunan profesional pegawai kadet dan peribadi tentera kita.
“Satu lagi ciri yang membezakannya ialah penekanan UPNM terhadap antara disiplin dan penyelidikan,” kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam ucaptama forum tersebut yang memasuki hari kedua hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. azlinda Azman,
Pada sesi pertama forum itu menyaksikan pembentangan yang dipengerusikan Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.
Terdapat lima perbahasan tema ARF HDUCIM yang dikongsikan oleh para perwakilan dari Australia, Kanada, Jepun, Filipina dan Malaysia.
Sementara pada sesi kedua pembentangan, terdapat lapan perbincangan yang dikupas oleh perwakilan negara anggota termasuk dari Kemboja, Jerman, India, Indonesia, Pakistan, Timur-Leste, Vietnam dan Malaysia.
Sesi kedua dipengerusikan oleh Brigedier Jeneral Don Chinthaka Asela Wickramasinghe dari Sri Lanka.
Pada hari kedua ini juga sebanyak empat perbincangan dua hala dilaksanakan dalam kalangan negara anggota dan menjadikan 20 keseluruhannya.
Pada majlis penutup ARF HDUCIM Ke-25 menyaksikan Naib Canselor UPNM menyerahkan tampuk pengerusi kepada Timbalan Naib Canselor KDU Sri Lanka bagi penganjuran ARF HDUCIM Ke-26 pada tahun berikutnya. – UTUSAN