IPOH: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol remaja perempuan bawah umur, Julai lalu.
Tertuduh, Fazaikal Hakimi Mustafa, 21, membuat pengakuan itu dan minta dibicarakan ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol remaja perempuan berusia 13 tahun tujuh bulan di sebuah rumah di Taman Impiana Adril, Menglembu, Ipoh antara 12 tengah malam hingga 4 pagi pada Julai 2023.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Salihen Mastor.
Terdahulu, tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh namun Mohamad Salihen memohon jaminan diberikan dengan jumlah minimum RM3,000 atas alasan lelaki terbabit tidak bekerja dan membantu ibunya menjaga datuk yang uzur.
Katanya, ibu tertuduh yang merupakan tenaga pengajar di sebuah pusat tahfiz juga bersedia memberikan komitmen sekiranya mahkamah menetapkan syarat tambahan untuk lelaki tersebut.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 September depan untuk tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN