GEORGE TOWN: Keadaan unit kediaman di Flat Kampung Melayu di Air Itam di sini yang rata-ratanya hanya mempunyai satu bilik mendapat perhatian daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Anwar berkata, beliau akan berbincang dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan akan membawa perubahan di Flat Kampung Melayu berkenaan.
”Flat ini berapa bilik ada, ada satu bilik, kita mesti cari jalan bangunkan (Flat Kampung Melayu). Mana boleh duduk dalam keadaan begini. Saya akan bincang dengan kerajaan negeri, kita cuba bawa perubahan kepada Kampung Melayu.
“Saya tidak boleh janji lebih kerana ini pilihan raya, kalau saya janji, salah, kerana peraturan pilihan raya, tetapi percayalah apabila ada kuasa kita mesti melaksanakannya dengan baik,” katanya ketika berucap pada sesi Jelajah Perpaduan Madani di pekarangan Flat Kampung Melayu, di sini malam tadi.
Difahamkan, Flat Kampung Melayu mula diduduki penduduk pada tahun 1968 (Blok A) dan kemudian Blok B siap dibina pada 1978.
Kedua-dua blok berkenaan mempunyai kira-kira 950 unit kediaman serta dihuni lebih 3,000 penduduk pada masa ini.
Difahamkan, di Blok B hanya terdapat 135 unit kediaman yang mempunyai dua bilik, manakala unit selebihnya di Blok A dan Blok B adalah kediaman satu bilik berkeluasan 51 meter persegi (550 kaki persegi).
Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Flat Kampung Melayu, Abdul Aziz Bukhari berkata, penduduk di situ amat mengalu-alukan sebarang projek pembangunan perumahan baharu untuk keselesaan mereka.
”Flat ini adalah kediaman kos rendah dan usianya sudah melebihi 50 tahun, sudah tentu ia tidak sesuai dengan keadaan masa kini.
“Dahulu harga satu unit kediaman satu bilik dijual pada harga antara RM15,000 manakala unit dengan dua bilik berharga RM19,000,” katanya.
Abdul Aziz berkata, kebanyakan penduduk juga telah menyelesaikan pembayaran unit kediaman masing-masing menerusi sistem sewa beli.
”Kami sangat alu-alukan projek untuk keselesaan penduduk flat kerana keluarga yang tinggal di unit kediaman di sini semakin bertambah bilangannya.
”Cara yang sesuai kerajaan buat ialah bina semula kediaman baharu di tapak flat kerana kalau nak tambah baik atau tambah bilik memang sukar untuk dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Itam, Joseph Ng berkata, beliau bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat bagi memastikan penduduk di Flat Kampung Melayu memperoleh kediaman yang lebih selesa.