KEMAMAN : Perwatakan bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mesra dengan semua golongan dan sering mengambil cakna mengenai kesusahan penduduk membuatkan disenangi sebahagian pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.
Salah seorang peniaga, Normah@Fatimah Abdullah, 74, berkata, dia sangat menyanjungi pemimpin itu yang disifatkan tidak sombong dan senang didampingi.
“Mak cik kenal Mad Said (Ahmad) daripada dia muda, dia banyak tolong orang Kijal, banyak jasa dia, terutamanya dari segi pembangunan.
“Masa dia jadi menteri besar, Jambatan Bukit Kuang, Sekolah Imtiaz Kemaman, jalan empat lorong dari Kemaman ke Dungun, semuanya idea daripada dia,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kedainya, di sini, hari ini.
Ibu kepada sembilan anak dan memiliki 28 cucu serta tujuh cicit ini berkata, dia sering mengingatkan anak-anaknya mengenai jasa Ahmad serta UMNO.
“Anak perempuan mak cik, masa 1999, dia diberhentikan kerja sebagai guru Kafa selepas pemerintahan kerajaan negeri beralih, masa Barisan Nasional kembali memerintah pada 2004, anak mak cik dapat kerja semula. Seboleh-bolehnya mak cik mahu Mad Said kekal jadi calon dan mak cik juga memang mahu ahli keluarga mak cik mengundi Tok Mat,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Shahrizal Amri Mohamad, 30, berkata, Ahmad banyak membawa pembangunan di negeri ini termasuk di kawasan Kijal dengan mewujudkan Bandar Baru Kijal.
“Bagaimanapun, beberapa projek yang dirancang tidak dapat diselesaikan selepas pertukaran menteri besar dan kerajaan negeri.
“Kalau ikutkan, Pembangunan Bandar Baru Kijal berjalan rancak, namun disebabkan pertukaran pemimpin, semuanya terhenti. Kalau boleh, saya mahu tengok Mad Said kekal supaya apa yang dirancang berjalan lancar,” katanya.
Menurut Shahrizal, banyak fasiliti yang dibina kerajaan negeri terdahulu diabaikan selepas pemerintahan negeri berubah.
“Gelanggang futsal, dewan serbaguna berhampiran Pantai Penunjuk di kawasan Kijal, tidak dibaiki hingga menyebabkan fasiliti itu rosak teruk. Sepatutnya, walaupun kerajaan berubah, fasiliti ini tetap digunakan,” katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri kali ini, Ahmad yang menyandang kerusi DUN Kijal sejak 1990 selama sembilan penggal akan ditentang calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Razali Idris. – UTUSAN