Penduduk bimbang pencemaran Sungai Kim Kim berulang - Utusan Malaysia

Penduduk bimbang pencemaran Sungai Kim Kim berulang

ANGGOTA bomba menjalankan usaha membendung kebocoran injap saluran bahan kimia di sebuah kilang di Pasir Gudang, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Penduduk Pasir Gudang di sini berharap pihak berwajib mengambil langkah kawalan segera ekoran insiden kebocoran bahan kimia styrene monomer di sebuah kilang di Jalan Pekeliling di sini petang kelmarin.

Seorang penduduk, Supaid Karmat, 72, memberitahu, insiden mencemaskan itu menyebabkan penduduk sekitar bimbang pencemaran di Sungai Kim Kim berulang yang menjejaskan kehidupan ribuan penduduk khususnya kanak-kanak dan warga emas.

“Penduduk dimaklumkan insiden kebocoran bahan kimia itu menerusi media sosial dan pada awalnya saya ingatkan itu be­rita palsu atau berlaku di tempat lain. Namun setelah dise­lidiki memang ia berlaku di Pasir Gudang dan perkara itu amat membimbangkan kerana penduduk masih ingat lagi pencemaran Sungai Kim Kim yang berlaku pada 2019.

“Jadi kami amat berharap agar pihak berwajib ambil langkah kawalan dan pencegahan segera untuk memastikan insiden itu tidak berulang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Supaid bimbang sekiranya urusan harian penduduk sekali lagi terganggu dan terhenti setelah pencemaran Sungai Kim Kim dan pandemik Covid-19.

Seorang lagi penduduk, Ariff­ Hafizal Mohd. Fadzli, 31, turut bimbang sekiranya insiden itu menyebabkan pencemaran udara yang akan memberi kesan kesihatan kepada penduduk setempat.

“Mungkin ia tidak jejaskan individu dewasa atau yang sihat tubuh badan, namun bagaimana pula dengan individu yang kurang sihat atau kanak-kanak serta warga emas? Saya berasa risau kerana mempunyai dua anak yang masih kecil.

“Jadi, sudah tentu saya mahu perkara ini dikawal dan tidak lagi terjadi pada masa depan. Walaupun penduduk tahu Pasir Gudang adalah sebuah bandar perindustrian, namun ia juga kawasan kediaman penduduk,” katanya yang merupakan seorang peniaga.

Kelmarin Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Sarhan Akmal Mohamad memberitahu, pihaknya menerima maklumat tentang terdapat pencemaran bau di kawasan tersebut pada pukul 5.21 petang.

Hasil pemeriksaan mendapati berlaku kebocoran bahan kimia pada injap saluran bahan kimia yang berada di kilang itu, namun tiada sebarang kecede­raan atau mangsa dilaporkan dalam kejadian tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya