Penduduk bantah kilang bateri Kampung Jenjarom - Utusan Malaysia

Penduduk bantah kilang bateri Kampung Jenjarom

STRUKTUR binaan dalam sebuah kilang bateri dikhuatiri akan digunakan untuk kerja-kerja berkaitan plat plumbum di atas tapak diwarta sebagai perindustrian sederhana dan ringan dekat Kampung Jenjarom di Kuala Langat, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Cadangan pembukaan semula kilang pengeluaran bateri dekat Kampung Jenjarom dikatakan melanggar pindaan Kebenaran Merancang (KM) daripada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Ini apabila terdapat struktur binaan dipercayai bagi tujuan pembuatan plat plumbum.

Pembinaan struktur tersebut dan cadangan pembukaan se­mula kilang bateri itu bertenta­ngan dengan Rancangan Tempatan 2030 MPKL apabila tapak tersebut diwarta sebagai kawasan perindustrian sederhana dan ringan.

Pengerusi Badan Bertindak Pencemaran Plumbum Kampung Jenjarom, Mohd. Nazri Afrizal berkata, kira-kira 9,000 penduduk bimbang jika benar struktur tersebut dibina untuk kerja-kerja melibatkan pembuatan atau peleburan plat plumbum.

“Di hadapan kilang berkenaan dinyatakan kelulusan pindaan dalam KM dan pembinaan yang menyatakan tiada kerja-kerja pembinaan struktur tersebut. Aduan­ sudah dibuat kepada MPKL pada hujung Julai lalu, namun sehingga kini belum kami terima maklum balas.

“Bagaimanapun, kami me­rancang membuat laporan polis serta aduan kepada biro penga­duan awam dan jabatan kerajaan berkaitan perancang bandar dan desa sekiranya masih belum mendapat maklum balas daripada pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Sebelum ini tular gambar memaparkan struktur bertingkat itu dikesan dalam kilang ber­kenaan ketika pemeriksaan MPKL di situ baru-baru ini sebelum tular dalam kalangan penduduk.

Akhbar ini pada September 2021 melaporkan penduduk di Kampung Jenja­rom bimbang detik malang yang pernah mereka lalui apabila kilang pembuatan ba­teri yang pernah menga­kibatkan pencemaran plumbum, dikatakan bakal kembali beroperasi.

Kilang berkenaan pernah ditutup oleh kerajaan negeri pada 2019 selepas menjadi punca penduduk setempat terdedah kepada pencemaran logam tersebut.

Dalam pada itu Mohd. Nazri bersama sekumpulan penduduk kampung berhasrat menghantar petisyen kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan negeri Selangor.

“Kita juga berharap kepada wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menang baru-baru ini, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi supaya mengambil berat dan membantu menyelesaikan masalah ini kerana arahan daripada Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) sebelum ini adalah henti dan pindahkan operasi.

“Sehari sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) penduduk kampung pasang kain rentang menyatakan bantahan kepada kilang tersebut, namun dalam masa satu malam, MPKL cabut semua,” tegasnya.

Tambahnya, tindakan dan penjelasan daripada MPKL adalah perlu kerana KM yang diluluskan bertentangan dengan Seksyen 18, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 iaitu pembinaan yang bertentangan dengan rancangan tempatan (RT). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya