Penceroboh rumah Nabil didenda RM3,000 - Utusan Malaysia

Penceroboh rumah Nabil didenda RM3,000

NABIL AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Penceroboh rumah selebriti terkenal, Nabil Ahmad, didenda sebanyak RM3,000 di Mahkamah Majistret Rembau di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas perbuatan itu awal tahun lalu.

Tertuduh, Fadzril Aqmal Abdul Anif, 31, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kartini Kasran.

Majistret turut memerintahkan 10 bulan penjara sekiranya tertuduh gagal membuat bayaran berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, pada 4 Januari tahun lalu kira-kira pukul 7.50 malam di Kampung Senama Tengah, tertuduh telah didapati dengan sengaja menceroboh ke dalam rumah Ahmad Nabil Ahmad, 40, tanpa pengetahuan dan kebenarannya.

Oleh yang demikian tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 442 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau dengan denda sehingga RM5,000 atau dengan kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, adik selebriti berkenaan telah menerima panggilan daripada selebriti tersebut memaklumkan lampu dan pintu rumah di kampung tersebut terbuka pada tarikh dan masa yang sama.

Sebaik sahaja sampai, pengadu telah masuk ke dalam rumah dan mendapati pintu gril serta pintu rumah telah rosak dan ruang tamu serta tiga bilik kecuali bilik utama dalam keadaan berselerak.

Pengadu juga menemukan seluar trek, baju, kasut serta kad pengenalan tertuduh di dalam poket seluar berkenaan, namun tiada barangan berharga yang hilang.

Hasil siasatan mendapati jiran selebriti berkenaan telah menghubungi selebriti tersebut pada pukul 7.40 malam, namun tidak mengesyaki apa-apa kerana beranggapan lelaki tersebut merupakan ahli keluarga.

Bagaimanapun Nabil telah meminta adiknya untuk memeriksa rumah tersebut kerana tiada sesiapa yang balik ke rumah pada masa berkenaan.

Tertuduh akhirnya mengaku telah masuk ke dalam rumah dengan cara menolak pintu dengan kuat, makan, berehat dan tidur di dalam rumah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya