Penagih bakar rumah selepas berang tidak dapat rokok - Utusan Malaysia

Penagih bakar rumah selepas berang tidak dapat rokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KEPALA BATAS: Akibat tidak diberikan rokok, seorang penagih bertindak membakar sebuah rumah dua tingkat di Pokok Sena, di sini malam tadi.

Suspek berusia 47 tahun yang baru keluar penjara itu didakwa mengamuk kerana adiknya enggan memberikan rokok kepadanya kira-kira pukul 9 malam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Assisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, adiknya yang tidak tahan dengan amukan suspek kemudiannya ke Balai Polis Kepala Batas untuk membuat laporan.

“Walau bagaimanapun, semasa dalam perjalanan ke balai polis, dia dihubungi jiran yang memaklumkan rumahnya terbakar.

“Jirannya memberitahu suspek telah membakar rumah terbabit, malah berjaya ditangkap di lokasi kejadian.

“Suspek tinggal di rumah itu bersama ibu serta adiknya, namun ketika kejadian, ibu mereka berada di Balik Pulau,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rumah dua tingkat itu dilengkapi lima bilik, dua bilik air dan ruang tamu.

“Bahagian atas rumah terbabit adalah kayu manakala bahagian bawah simen dan kebakaran itu menyebabkan kemusnahan sebanyak 95 peratus termasuk empat motosikal lama yang sudah tidak digunakan.

“Kediaman jiran berhampiran turut disambar api dan terbakar di bahagian dinding dapur,” katanya.

Mohd. Asri berkata, berdasarkan siasatan awal, suspek mengaku membakar langsir rumah dengan menggunakan pemetik api di bilik tidurnya sendiri sehingga api marak dan membakar keseluruhan rumah.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan memiliki 14 rekod kesalahan lampau,” katanya.

Suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya