LAPANGAN muzik independen di Malaysia wujud sebagai alternatif. Berbanding industri hiburan perdana yang berlimpah wang, lapangan alternatif merangkul solidariti dan kesalingan (mutualism).
Wangnya sedikit tetapi persaudaraannya tebal dan kaya. Ambil contoh gig berbanding konsert: modalnya kecil tetapi kekerapannya berganda, supaya anggotanya boleh selalu bersama dan bersaudara.
Kek ekonomi lapangan muzik independen tidak besar, maka setiap orang makan secebis kecil buat rasa-rasa. Selebihnya kita bikin potluck, berkongsi nikmat sesama anggota.
Lapangan dengan modal kecil ini akan roboh sebaik anasir kapitalistik masuk. Anasir ini akan rakus merebut potongan kek, mengambil bahagian besar buat mengisi tembolok mereka dan merampas bahagian yang sepatutnya dikongsi secara saksama.
Yang tinggal cuma cubit-cubit kecil yang kalau tak mencukupi, akan direbut juga oleh anggota-anggota lapangan.
Tamak menikam mati solidariti; ketidakpedulian menghancur kebersamaan.
PENGANJUR LAWAN KUGIRAN
Pengenalan artikel ini penuh dengan analogi dan metafora. Susah nak faham sebab bahasanya berbasa-basi, maknanya terapung-apung.
Saya jelaskan dalam perenggan-perenggan seterusnya.
Ada perdebatan berlaku dalam ruang maya. Tentang kugiran yang menuntut bayaran terhadap usaha dan modal mereka apabila dijemput buat persembahan dan penganjur yang memikirkan untung-rugi serta nilai yang boleh dibawa kugiran terhadap acara.
Saya pernah suarakan hal yang sama tetapi – ingat ini – perbahasan di ruang maya tidak akan bertemu penyelesaian. Akan ada yang memberi pandangan di luar konteks dan ada manusia lapar sensasi yang kemaruk mengorek gosip, mahu melaga-laga demi kepuasan sendiri.
Maka, jadikanlah ruang maya tempat melepas perasaan sahaja. Kalau mahu penyelesaian, atur perbincangan yang matang secara bersemuka.
TENTANG KUGIRAN YANG DIBAYAR RENDAH, MASIH PATUTKAH SITUASI INI BERLAKU?
Hal ini ada disentuh pengasas Bittersweet, Herri Hamid dalam rancangan Di Sebalik Lagu di saluran Youtube Music Addicts Malaysia.
Hujah Herri penuh logik dan munasabah: dengan segala perbelanjaan yang perlu dikeluarkan kugiran untuk menghasilkan produk, berlatih dan membeli/membaiki instrumen, layakkah mereka dibayar sekadar RM100 untuk persembahan?
Saya fikir, sebab ini di Malaysia, lapangan muzik independen dengan industri muzik arus perdana masih besar jurangnya. Punca terasnya: wang.
Wang yang berkitar dalam lapangan independen tidak banyak. Jauh berbeza dengan industri perdana yang jumlah enam angka itu jadi bualan lazim.
Untuk bikin konsert arus perdana, modalnya boleh cecah juta. Untuk bikin gig independen, tak perlu lebih empat angka.
Wang yang terhad dalam lapangan independen memaksa anggotanya membentuk budaya yang berasaskan kesalingan. Dalam biologi, ia dipanggil mutualisme, antara lawannya parasitisme. Dalam ekonomi, juga dipanggil mutualisme, antara lawannya kapitalisme.
Untuk mencapai mutualisme, kita perlu nilai-nilai abstrak seperti kejujuran dan ketelusan. Di sini kita biasa gagal kerana nilainya abstrak. Ia boleh disorok dan dikabur.
KHUTBAH DI MIMBAR MEGAH
Mereka yang asing dengan budaya independen akan terkejut, ada artis yang tak ambil bayaran, malah perlu membayar untuk buat persembahan.
Juga, ada penganjur yang tak ambil untung, malah sudah berkira-kira kerugian apabila menganjur persembahan.
Ia normal dalam lapangan independen dan boleh diterima sekiranya semua pihak yang terlibat jujur dan telus. Mereka yang terlibat, mungkin, hanya mahu melepas gian membuat atau menganjur persembahan. Seperti anda yang kadang kala berbelanja besar untuk makan sedap; rugi tapi puas.
Maka kontrak tanpa untung ditanda tangan. Persembahan dijalankan tanpa cakap-cakap belakang.
Tapi jika ada pihak yang tidak jujur dan telus, mulut ucap solidariti tapi tangan menggenggam untung yang berat sebelah, itu yang jadi masalah.
Sekali lagi, wang dalam lapangan independen ini tak banyak mana. Kalau ada yang berhasrat mahu bina kehidupan dengan merebut untung dari lapangan ini, lupakanlah. Anda sedang melawan sifat asas ekonomi.
Mahu tidak mahu, secara biologinya anda akan jadi parasit, secara ekonominya anda jadi kapitalis.
Pidatokanlah khutbah solidariti dan perjuangan anda di mimbar Twitter tapi realitinya, mencari untung dalam lapangan yang terbina atas batu asas kesalingan – menang-menang, perkongsian saksama – tak pernah adil.
JANGAN MIMPI YANG BASAH-BASAH
Untuk merumus masalah dan penyelesaian dalam artikel satu muka surat ini memang susah. Saya hanya mampu cuba ringkaskan.
Untuk penganjur atau kugiran yang mahu berniaga dalam lapangan independen, berpada-pada dalam menganggar untung. Dalam kitaran wang yang terhad, tak banyak untung yang anda boleh buat.
Kalau mahu juga untung besar, sebagai peniaga, anda perlu tahu cari lubuk yang banyak wang. Berhenti memancing dalam kolam ini, pergi ke laut sana.
Tunggang hal tular. Panggil artis luar yang popular. Teroka pasaran besar yang menguntungkan itu. Tapi mulut perlu ikut jujur, tak perlu khutbahkan perjuangan atau solidariti. Buat relaks saja, orang faham awak berniaga.
Begitu juga dengan kugiran. Kalau mimpikan hidup mewah, janganlah buat lagu post-rock, contohnya. Hasilkan melodi-melodi pop yang boleh mencangkuk banyak wang.
Kalau tak boleh juga nak ikut selera massa Malaysia, teroka peluang di luar negara. Banyak negara yang dah tak ada pemisah independen-arus perdana. Muzik alternatif pun lingkungannya banyak wang.
Jawapan kepada perbahasan antara penganjur dengan kugiran itu ada pada kejujuran, kepercayaan dan kebersamaan.
Ekosistem yang terbentuk atas asas kesalingan akan terganggu apabila ada yang tidak menyaling – ketidakseimbangan kuasa atau cakap yang tak serupa bikin.