Pemuda PN hairan lihat penyokong PH-BN terima amalan guna jentera kerajaan

Pemuda PN hairan lihat penyokong PH-BN terima amalan guna jentera kerajaan

AHMAD FADHLI SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemuda Perikatan Nasional (PN) hairan melihat ada penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang boleh menerima amalan pemimpin mereka mengguna pakai jentera kerajaan dalam tempoh berkempen. 

Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia jelas bercanggah dengan kenyataan sebelum ini yang menyebut bahawa parti kerajaan tidak akan menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen dalam pilihan raya negeri (PRN). 

Malah, Fadhli turut berkongsi rakaman video Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang menjelaskan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini supaya tidak menyalahgunakan jentera kerajaan untuk tujuan kempen politik sewaktu tempoh berkempen bermula 29 Julai hingga 12 Ogos. 

“Tetapi, lihat apa yang telah diguna oleh Perdana Menteri semalam bila berkempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri di Kedah. Perdana Menteri terang-terangan menggunakan helikopter milik kerajaan. 

“Bahkan apabila ditimbulkan isu ini, Perdana Menteri kata ‘ikut suka aku apa hang sakit hati’. Hebat. Bukan masalah sakit hati, masalahnya helikopter itu milik kerajaan (dan) kerajaan ini milik rakyat,” katanya dalam satu rakaman video di Facebook, hari ini. 

Sebelum ini media melaporkan, tindakan Anwar memilih menggunakan helikopter mendapat kritikan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dalam ceramah kempennya selepas menganggap Perdana Menteri sepatutnya boleh menggunakan kenderaan darat lain.

Bagaimanapun, Anwar yang juga Menteri Kewangan semalam menegaskan, beliau berhak menggunakan kemudahan itu berikutan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Fadhli  yang juga Ketua Pemuda Pas berkata, sekiranya Perdana Menteri mahu menggunakan kemudahan itu untuk urusan rasmi kerajaan, maka ia tidak mempunyai masalah. 

“Tetapi, menguna untuk tujuan kempen di DUN Jeneri yang jelas sekali Perdana Menteri turun untuk berkempen. 

“Bukan setakat Perdana Menteri, tetapi satu lagi helikopter polis juga digunakan untuk bawa Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail).

“Ini lah kerajaan sembang kosong, kerajan yang hanya bercakap semata-mata, tetapi tidak melaksanakan apa yang mereka sebut. Buang kerajaan ini seberapa segera yang mungkin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya