KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial dan pelakon baharu, Arieff Yong berpandangan influencer tidak mempunyai hak untuk meletakkan harga tinggi untuk satu-satu kerja lakonan yang ditawarkan kepada mereka.
Kata Arieff, golongan itu perlu sedar mereka tidak mempunyai pengalaman dalam bidang tersebut justeru tidak wajar bersikap demanding.
“Memang tak patut (demand). Cipta kandungan media sosial berbeza dengan lakonan profesional. Bahkan, pempengaruh media sosial tiada pengalaman lakonan berbanding pelakon sedia ada.
“Sebagai pempengaruh, kita tiada hak untuk demand bayaran lebih jika ditawarkan berlakon, hanya boleh berbuat demikian sekiranya syarikat produksi berhasrat gunakan platform media sosial milik pempengaruh itu untuk tujuan iklan atau publisiti.
“Perlu ingat, anda dibayar berdasarkan kemahiran lakonan. Tak berbaloi sebuah syarikat produksi bayar pempengaruh media sosial mahal tapi mutu lakonan tidak mencapai standard,” katanya ketika mempromosikan rancangan realiti terbaru, Real Men Malaysia: Wira Merah baru-baru ini.
Sambung Arief, dia tidak menolak kejutan budaya berlaku dalam kalangan sebilangan besar pempengaruh media sosial membuatkan mereka berlagak diva.
“Saya jumpa ramai influencer yang bersikap begini, tapi kami tidaklah bersahabat. Memang ada yang berperangai diva.
“Mungkin mereka alami kejutan budaya selepas meraih populariti di media sosial. Hakikatnya, dalam dunia lakonan, mereka bukanlah sesiapa.
“Terkenal atau tidak, pempengaruh media sosial tiada hak menekan harga bagi satu-satu kerja lakonan. Sikap begitu memakan diri mereka sendiri,” jelasnya.