Pemegang kad UNHCR peras ugut rakan senegara ditahan

Pemegang kad UNHCR peras ugut rakan senegara ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Seorang lelaki warga Myanmar ditahan selepas dipercayai memeras ugut rakan senegaranya dalam kejadian di Bukit Permai, Ampang di sini pada 22 Ogos lalu. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 10 malam ketika mangsa berada di rumah sebelum didatangi tiga lelaki senegaranya yang tidak dikenali dan membawanya menaiki kereta ke lokasi kejadian. 

Katanya, tujuan mangsa mengikut ketiga-tiga lelaki berkenaan adalah bagi membincangkan isu hutang. 

“Setelah tiba di lokasi tersebut, rakannya mengugut dan meminta pengadu untuk membayar wang berjumlah RM17,000. 

“Mangsa hanya dilepaskan selepas membayar RM7,000 dan suspek mengugut pengadu untuk menyelesaikan baki bayaran sebanyak RM10,000,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurutnya, siasatan mendapati suspek mengaku bertindak sebagai ejen palsu yang cuba mengaut keuntungan dengan membawa masuk mangsa dan isteri ke Malaysia melalui jalan laut.

Jelasnya, susulan itu, pihaknya menahan suspek berusia 35 tahun yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Taman Cahaya, Ampang di sini, semalam. 

“Ujian saringan air kencing terhadap suspek yang bekerja sebagai tukang paip didapati negatif dadah. 

“Polis akan memohon reman suspek hari ini untuk siasatan dijalankan di bawah  Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya