Pembantu kanan PBT direman lima hari bantu siasatan salah guna kuasa - Utusan Malaysia

Pembantu kanan PBT direman lima hari bantu siasatan salah guna kuasa

PEMBANTU kanan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang disyaki melakukan salah guna kuasa dibawa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI     
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang pembantu kanan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa.

Lelaki berusia 50-an itu direman bermula hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Perintah reman berkenaan dikeluarkan Majistret Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini selepas menerima permohonan SPRM negeri.

Terdahulu suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Terengganu kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam.

Suspek yang juga bendahari kesatuan di PBT tersebut dipercayai menyeleweng wang kebajikan kesatuan untuk kegunaan peribadi hampir RM200,000 melalui lebih 30 transaksi.

Kesalahan itu disyaki dilakukan suspek selama tiga tahun sejak 2017 hingga 2020.

Jika sabit kesalahan, lelaki itu berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Suspek akan ditahan reman di Lokap Pejabat SPRM Terengganu sehingga Sabtu ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya