Pembangkang jangan bermimpi tukar kerajaan Pusat  - Utusan Malaysia

Pembangkang jangan bermimpi tukar kerajaan Pusat 

NIK Nazmi Nik Ahmad (empat, kanan) berkempen membantu calon PH DUN Manir, Eka Lisut (tiga, kanan) sempena PRN di Manir, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad mengingatkan pembangkang agar tidak terus bermimpi mahu menukar kerajaan Pusat sekiranya menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu ini kerana tidak akan tercapai.

Beliau berkata, pembangkang seharusnya lebih faham proses perundangan negara terutama sekatan melalui Akta Lompat Parti yang diperkenalkan sebelum ini.

“Kenyataan Faizal Azumu (Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) bahawa kerajaan Pusat boleh bertukar sekiranya PN menang dalam PRN kali ini menunjukkan dia tidak faham proses perundangan.

“Cukup-cukuplah tu (dengan rancangan mahu menukar kepimpinan di peringkat pusat).

“Kita dah lalui perubahan demi perubahan kerajaan (sebelum ini) dan kita perlu ingat pesanan daripada Yang di-Pertuan Agong betapa perlunya satu kerajaan yang stabil memimpin negara pada masa sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau gerak kerja PKR bersama calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu, Azan Ismail di Bilik Gerakan Utama (BGU) PKR Bukit Besar, di sini, hari ini.

Semalam, Faizal Azumu berkata, ada proses undang-undang yang membolehkan pertukaran kerajaan di peringkat pusat berlaku sekiranya PN menang PRN meskipun terdapat Akta Lompat Parti.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, beliau yakin, rakyat juga tidak mahu adanya sebarang unsur untuk mengganggu-gugat kerajaan pusat seperti mana yang pernah berlaku dahulu.

“Perbezaan politik kita tolak ketepi selepas PRN kerana kita nak stabilkan negara kita.

“Negara kita memerlukan pembangunan ekonomi, perlu  pelaburan dan pekerjaan, kalau bertukar-tukar kerajaan ni, satu perancangan pun tak akan berlaku.

“Bercakap tu pun tak akan membantu memulihkan ekonomi negara kita. Jadi pembangkang yang baik cukup lah. Dia (Faizal Azumu) pun dah kalah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN