Pemandu lori didakwa bunuh rakyat India, mayat sumbat dalam guni

Pemandu lori didakwa bunuh rakyat India, mayat sumbat dalam guni

S. Dorairaj dibawa anggota polis bagi menghadapi pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki warganegara India. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki warganegara India yang mayatnya disumbat dalam guni di sebuah tapak besi buruk di Taman Bukit Serdang di sini.

S. Dorairaj, 43, didakwa bersama-sama tiga lagi yang telah dituduh kerana menyebabkan kematian A. Vinayagamoorthy, 41, dengan niat hendak menyebabkan kecederaan tubuh yang mungkin menyebabkan kematian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah tapak besi buruk, di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, di sini pukul 1.30 petang pada 4 Ogos lalu. Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika perbuatan menyebabkan kematian itu dilakukan dengan niat atau menyebabkan yang mungkin menyebabkan kematian.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin tidak menawarkan sebarang jaminan kerana pertuduhan itu tergolong dalam kesalahan yang tidak boleh dijamin. Bagaimanapun peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan ikat jamin.

“Meskipun pertuduhan ini tidak boleh dijamin namun mahkamah boleh menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan. Sekiranya terdapat syarat tambahan, tertuduh bersedia mematuhinya,” kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Faiz Dziyauddin membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 September ini untuk sebutan kes. Terdahulu pada 16 Ogos lalu, media melaporkan tiga beranak didakwa dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Mereka ialah ahli perniagaan barang lusuh V. Nanta Kumar, 51, dan dua anaknya iaitu Miren Ram, 24 serta Krithik Ram, 22. Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki warga India panik selepas menemui mayat seorang lelaki diletakkan dalam guni di tapak besi buruk Taman Bukit Serdang, di sini.

Mayat yang dijumpai disyaki dibunuh dan dimasukkan ke dalam sekarung guni plastik (beg jumbo) berwarna putih di tapak stor penyimpanan besi buruk berkenaan. Ekoran kejadian itu, seramai 13 individu termasuk tiga wanita ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat seorang lelaki dibunuh berkenaan.

Siasatan awal mendapati motif kejadian adalah berpunca dari masalah kewangan yang dikatakan diambil oleh mangsa yang bekerja sebagai kerani kewangan di syarikatnya. Suspek yang menyedari kehilangan wang melibatkan jumlah puluhan ribu ringgit itu kemudiannya membawa si mati dan disimpan di tempat kejadian beberapa hari sebelum dibunuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya